Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 23:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Subang Jaya – Kempen tanggungjawab sosial korporat yang bertemakan “Kami Bawa Senyuman–Jom Tunaikan Impian Kanak-kanak” telah dilancarkan di Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) untuk menyemai harapan dan kegembiraan buat kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal di seluruh negara.

Kempen yang berlangsung selama 45 hari, bermula pada 15 Mei lalu hingga 30 Jun 2025 itu adalah dengan kerjasama Procter and Gamble (P&G) Malaysia dan Persatuan Impian Kanak-kanak Malaysia (CWS).

Kempen tersebut berusaha menggalakkan rakyat Malaysia untuk menjadikan pembelian harian sebagai satu bentuk sumbangan yang bermakna.

Pelancaran kempen berkenaan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Yang Berhormat (YB) Puan Jamaliah Jamaluddin.

YB Puan Jamaliah Jamaluddin ketika menyampaikan ucapan pelancaran Kempen “Kami Bawa Senyuman–Jom Tunaikan Impian Kanak-kanak”.

Menurut Pengurus Negara P&G Malaysia dan Singapura, Encik Nantha Kumaran Kalimuthu, sebagai sebuah syarikat yang komited terhadap kesejahteraan komuniti, P&G percaya bahawa adalah menjadi tanggungjawabnya untuk menyokong golongan yang paling memerlukan, terutamanya kanak-kanak bagi menghadapi ujian hidup yang berat.

Encik Nantha Kumaran Kalimuthu ketika menyampaikan ucapan alu-aluan.

Menurut beliau,

Kolaborasi bersama-sama MYDIN dan CWS membolehkan kami merealisasikan impian pesakit terminal dalam kalangan kanak-kanak serta memberikan mereka memori yang penuh makna dan momen seperti inilah yang menjadi inspirasi utama P&G Malaysia untuk terus berbakti kepada masyarakat.

Sementara itu, Pengarah Urusan MYDIN, YBhg. Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin percaya bahawa setiap perniagaan mempunyai peranan dalam membangunkan sesebuah komuniti.

Ujar beliau,

Menerusi kempen ini, MYDIN berpeluang memberikan senyuman kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal dengan menjadikan aktiviti membeli-belah di MYDIN sebagai aktiviti yang bermakna.

Beliau juga menyatakan bahawa inisiatif tersebut amat akrab di hati bagi merealisasikan hasrat kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Kata beliau,

Selama 18 tahun juga CWS telah menunaikan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal yang kadang-kadang hanya mahu ke zoo, menjadi anggota bomba atau menjadi “batman” yang mungkin hal itu kecil sahaja bagi kita, namun besar maknanya kepada mereka.

Tambah beliau, setiap pembelian barangan P&G bernilai RM10.00 ke atas di semua cawangan MYDIN Mall, pelanggan telah menyumbang sebanyak 10 sen bagi mencapai sasaran RM100,000.00 dalam tempoh sebulan setengah yang kemudiannya disalurkan kepada CWS.

Seterusnya, Presiden CWS, Encik Teoh Teik Hoong menyatakan bahawa satu impian yang tercapai boleh memberikan kekuatan yang luar biasa kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal, malah bukan sekadar kegembiraan yang diperoleh tetapi menjadi sumber motivasi kepada mereka untuk terus melalui ujian hidup.

Encik Teoh Teik Hoong menyatakan bahawa satu impian yang tercapai boleh memberikan kekuatan yang luar biasa kepada kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal.

Katanya,

Kami amat menghargai sokongan MYDIN dan P&G Malaysia yang membolehkan CWS membantu lebih banyak kanak-kanak serta memberi kenangan yang indah buat mereka dan keluarga.

Dari kiri: Encik Teoh Teik Hoong, YBhg. Datuk Wira (Dr.) Haji Ameer Ali Mydin, YB Puan Jamaliah Jamaluddin, Encik Nantha Kumaran Kalimuthu dan YBhg. Datin Wira (Dr.) Hajah Siti Hawa Mohd. melakukan gimik pelancaran Kempen “Kami Bawa Senyuman–Jom Tunaikan Impian Kanak-Kanak”.

CWS merupakan organisasi badan beramal berdaftar yang berpusat di Subang Jaya dan bekerjasama dengan pasukan perubatan di hospital kerajaan bagi mengenal pasti kanak-kanak di bawah umur 18 tahun yang menghidap penyakit terminal atau kritikal.

Mereka akan diberikan peluang untuk berkongsikan impian masing-masing sama ada dalam bentuk hadiah, pengalaman istimewa mahupun aktiviti bersama-sama keluarga dan CWS akan berusaha memenuhi impian tersebut dalam masa yang terdekat.

Kempen yang dianjurkan ini menggalakkan seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menjayakan misi murni melalui pilihan bijak sewaktu membeli-belah, yang membolehkan pengguna bukan sahaja memperoleh produk keperluan, malah turut menyumbang kepada senyuman, harapan dan impian kanak-kanak yang menghidap penyakit terminal menjadi kenyataan.

Turut hadir dalam Majlis Pelancaran Kempen “Kami Bawa Senyuman–Jom Tunaikan Impian Kanak-kanak” ialah Pengarah MYDIN, YBhg. Datin Wira (Dr.) Hajah Siti Hawa Mohd.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi