Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 19 judul buku bertemakan sains dan teknologi yang telah dilancarkan pada hari ini dalam Majlis Pelancaran Buku Bertemakan Sains dan Teknologi terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) menandakan pencapaian penting dalam bidang penulisan dan pengembangan ilmu di Malaysia.
Pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat (YB) Dato’ Mohammad Yusof Apdal yang menyifatkan penerbitan kesemua karya ini sebagai bukti komitmen bangsa terhadap pemajuan ilmu pengetahuan, khususnya dalam bidang sains dan teknologi.

“Kumpulan buku ini merupakan hasil kajian, pemikiran kritis serta komitmen para penulis dan penyelidik dalam usaha menyemai minat dan meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap bidang sains dan teknologi yang sentiasa berkembang,” ujar beliau dalam ucapan pelancaran.
Menekankan kepentingan sains dan teknologi dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, beliau menyatakan bahawa bidang ini berperanan sebagai teras utama dalam pembangunan negara yang merangkumi sektor pendidikan, kesihatan dan ekonomi digital.

“Oleh itu, penerbitan karya seperti ini sangat signifikan sebagai sumber ilmu yang relevan dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat,” tambah beliau.
Kumpulan sains dan teknologi ini bukan sahaja menjadi sumber ilmu yang sahih kerana ditulis dan disemak oleh pakar, malah mampu menyemai minat generasi muda dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan, matematik dan kecerdasan buatan yang menjadi elemen penting bagi kemajuan negara.
“Kandungan seperti ini membantu mengasah pemikiran kritis dan analitik kerana sains tidak hanya mengajar fakta, tetapi juga cara berfikir secara sistematik. Buku sains juga sering menjadi pencetus kepada inovasi dan penemuan baharu,” ujar YB Dato’ Mohammad Yusof lagi.
Penerbitan dalam bahasa Melayu juga dilihat sebagai langkah memartabatkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu, memperluas akses kepada pengetahuan dan menyokong pembangunan ekonomi berasaskan pengetahuan dengan melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan dalam ucapannya turut berkongsi tentang pencapaian DBP yang telah menerbitkan sebanyak 2185 judul buku sains dan teknologi sepanjang 40 tahun lalu yang merangkumi 1067 judul dalam bidang sains tulen dan 1118 dalam bidang sains gunaan.

“DBP akan terus bergerak aktif dalam membina istilah, menyusun kamus, dan menerbitkan buku sains dan teknologi dalam bahasa Melayu,” jelas beliau sambil menegaskan peranan DBP dalam membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang.
Menurut beliau lagi, objektif penerbitan buku bertemakan sains dan teknologi bukan sekadar menyebarkan pengetahuan ilmiah, malah untuk mendukung pengajaran dan pembelajaran pada pelbagai peringkat pendidikan.
“Buku-buku ini membantu menyebarluaskan hasil penelitian, teori, dan penemuan baharu kepada masyarakat, khususnya kepada pelajar, pendidik, ahli akademik dan profesional,” ujar beliau.
Majlis pelancaran turut dihadiri oleh Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sarawak, YBrs. Dr. Azizul Hj Ismail; Ketua Editor Bahagian Majalah DBP yang menjalankan tugas Pengarah Jabatan Penerbitan DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar dan Ketua Editor Bahagian Buku Umum DBP YM Tengku Fauziah Ku Mat.

Antara buku yang mencuri tumpuan termasuklah 28 Spesies Mamalia di Malaysia dan Lada Hitam Permata Sarawak yang telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah 50 Judul Buku Terbaik Malaysia 2025 yang diterbitkan oleh Unit Sains dan Teknologi, Bahagian Buku Umum, DBP.