Diterbitkan pada 16 Jun 2025, 10:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dengan penuh semangat dan harapan, GGR Legacy (M) Sdn. Bhd. (GGR Motor) tampil sebagai penganjur yang membawa Malaysia melakar sejarah baharu dalam industri automotif negara menerusi pembangunan industri mobiliti elektrik bersama-sama rakan strategiknya, Perniagaan Mazlan & Hashimah (PMH Motor) Sdn. Bhd.

Kini, GGR Motor dan PMH Motor berusaha menjadi pemangkin perubahan dalam landskap automotif negara, sekali gus membuka lembaran baharu ke arah mobiliti hijau dan mampan.

GGR Motor merupakan sebuah pengilang pemasangan motosikal kenderaan elektrik (EV) milik penuh usahawan bumiputera yang mengetengahkan motosikal keluaran tempatan berkualiti tinggi pada harga mampu milik.

Selain itu, GGR juga bertindak sebagai pengeluar motosikal EV bumiputera pertama negara dan bergerak aktif memperluas rangkaiannya menerusi kerjasama eksklusif bersama-sama PMH Motor selaku pengedar sah utama di seluruh Malaysia.

Sebelum majlis pelancaran motosikal EV, iaitu EV Rider Malaysia (EVRM) 2025 yang akan diadakan secara besar-besaran pada 28 Jun 2025 di Saloma KLCC, GGR Motor dan PMH Motor telah mengadakan majlis prapelancarannya di tempat yang sama, semalam.

Menurut Pengarah Urusan GGR Motor, Encik Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi, GGR Motor turut menjalin kerjasama strategik dengan Bateriku.com untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan penyelenggaraan di seluruh negara bagi memperkukuh ekosistem motosikal EV.

Pengarah Urusan GGR Motor, Encik Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi.

Ujar beliau,

EVRM 2025 akan menjadi pemangkin kepada penubuhan Pusat Latihan Kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bersama-sama PMH Motor yang bakal membantu pembangunan modal insan negara serta melahirkan tenaga mahir belia tempatan dalam bidang automotif hijau, khususnya melibatkan pemasangan, penyelenggaraan dan jualan motosikal EV.

Katanya,

Pada awalnya, GGR bermaksud Gila-Gila Remaja, iaitu judul bagi sebuah filem popular dan fenomena mengenai remaja yang suka merempit motosikal pada tahun 1986, namun disebabkan oleh kesedaran bahawa merempit tidak mendatangkan apa-apa faedah, maka maksud GGR ditukarkan kepada Go Green Revolution sebagai tanda kematangan serta hasrat untuk memberikan manfaat untuk masyarakat dan alam sekitar.

Beliau juga menyatakan bahawa penganjuran EVRM 2025 telah mendapat sokongan daripada pelbagai pihak, termasuklah VECTRIX, PETRONAS Lubricants Marketing Malaysia Sdn. Bhd. (PLMM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TVET@KKDW, PMH Motor dan Bateriku.com.

Jelasnya,

EVRM 2025 bukan sekadar melancarkan produk, malah program ini menjadi perhimpunan terbesar bagi komuniti, pengeluar, pengguna dan peminat motosikal EV di Malaysia dan rantau Asia Tenggara serta gerakan nasional ke arah mobiliti rendah karbon, sekali gus memperkasakan inovasi dan teknologi tempatan.

Beliau juga memaklumkan bahawa EVRM 2025 merupakan platform transformasi menyeluruh untuk memperkasakan pendidikan pengguna, merangsang pelaburan dan memperkukuh jaringan industri EV yang berpotensi menjadikan Malaysia sebagai peneraju utama dalam revolusi mobiliti serantau.

Antara objektif utama EVRM 2025 termasuklah mempromosikan Malaysia sebagai hab permotoran EV serantau, meningkatkan kesedaran teknologi EV dalam kalangan rakyat, merangsang pelancongan teknologi lestari serta memperluas peluang keusahawanan EV dalam kalangan belia dan lepasan TVET.

Terdahulu, GGR Motor telah menyampaikan hasrat kepada Pejabat Timbalan Perdana Menteri Malaysia untuk melancarkan motosikal EV keluarannya dan telah mendapat persetujuan.

EVRM 2025 dijangka akan dihadiri oleh Ketua Setiausaha Negara, YBhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Ketua Pengarah MARA, YBhg. Dato’ Zulfikri Osman serta tetamu undangan lain.

Semasa majlis prapelancaran itu juga, GGR Motor mengumumkan kerjasama dengan PLMM dalam penubuhan cawangan PETRONAS MotoExpert, iaitu bengkel motosikal rasmi di bawah kelolaan PETRONAS Sprinta Produk khusus EV.

Walaupun motosikal EV tidak menggunakan petrol tetapi PETRONAS berperanan dalam menyumbangkan PETRONAS Iona yang diserap masuk untuk diguna pakai sebagai satu daripada keunikan PETRONAS MotoExpert cawangan GGR Motor dan PMH Motor di seluruh negara.

Antara model motosikal yang akan dilancarkan dalam EVRM 2025 ialah Lion G1 yang berharga RM3999.00 sebelum rebat MARiiCas dan berharga RM1599.00 selepas penggunaan subsidi.

Lion G1 adalah antara motosikal EV yang bakal dilancarkan dalam EVRM 2025.

Kata Encik Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi lagi,

GGR Motor sememangnya melaksanakan konsep murah, rahmah dan berkualiti, maka motosikal ini merupakan motosikal EV yang paling mampu milik untuk pelajar, penghantar makanan dan pengguna bandar.

Beliau juga menyatakan bahawa motosikal Lion G1 yang menggunakan motor 3000 watt mampu menjangkau 120 kilometer bagi satu pengecasan penuh serta boleh dicas hingga 50 peratus dalam tempoh 30 minit sahaja, sekali gus menjadikannya sebagai produk tempatan yang berdaya saing.

Kongsi beliau,

Sesuai dengan hasrat kami, sasaran pasaran GGR Motor ialah golongan belia, penjawat awam, warga FELDA, anggota keselamatan serta komuniti bandar dan luar bandar yang memerlukan alternatif mobiliti kos efektif dan mesra alam.

Dalam konteks ini, EVRM 2025 telah membuka ruang kepada pihak MARA untuk melantik usahawan pengedar EV dalam kalangan lepasan TVET, disusuli dengan latihan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 3 dalam bidang penyelidikan dan pembangunan pemasangan dan perkhidmatan teknikal.

Selain itu, EVRM 2025 akan turut menyaksikan penyertaan aktif dari negara jiran seperti Vietnam, Thailand, Indonesia dan China serta kehadiran pempengaruh dan media sosial EV terkenal dari dalam dan luar negara.

GGR Motor yakin bahawa EVRM 2025 bakal menjadi penanda aras baharu bagi permotoran elektrik di Asia Tenggara, sekali gus membuktikan produk keluaran anak tempatan mampu bersaing pada peringkat global.

Encik Muhammad Mussadiq Mohamed Azmi juga memaklumkan bahawa GGR Motor mensasarkan jualan sebanyak 30 000 buah motosikal EV menjelang akhir tahun 2025.

Turut hadir dalam majlis prapelancaran EVRM 2025 tersebut ialah Pengerusi GGR Motor, Yang Amat Mulia Tengku Syarif Temenggong Perlis, Dato’ Seri Diraja Syed Amir Abidin Jamalullail; Pengarah Urusan PMH Motor, Encik Mohd. Izwan Mazlan; Pengarah Urusan Bateriku.com, Encik Azarol Faizi; Ketua Pegawai Eksekutif PLMM, Encik Mohd Zameer Zahur Hussain; Pengarah MARA Negeri Selangor, YBrs. Tuan Dr. Ahmad Sabri Kassim dan rakan kongsi utama GGR Motor.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi