Diterbitkan pada 19 Julai 2025, 21:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Pertubuhan Kebajikan Adina (Adina Charity Circle), sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang berpangkalan di sini, komited membantu dan menyokong kanak-kanak yang menghidap kanser.

Pertubuhan ini berdaftar secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dan dipimpin oleh Ketua Pegawai Operasi, Puan Nurdiena Mohd. Mardzi yang juga penggerak utama kepada inisiatif kesedaran kanser kanak-kanak pada peringkat masyarakat.

“Saya menyeru agar orang ramai agar tampil memberikan sokongan dalam bentuk sumbangan, kesedaran dan sokongan moral terhadap keluarga yang terkesan,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Dalam menjalankan tanggungjawab sosial ini, Puan Nurdiena Mohd. Mardzi dibantu oleh Puan Siti Marieyam Wearzana Hasbi selaku Timbalan Pengerusi merangkap Pengurus Program dan YBrs. Puan Farah Raehan Mohd. Mardzi selaku Setiausaha merangkap Pengurus Kewangan dan Pentadbiran.

Puan Nurdiena Mohd. Mardzi (dua dari kanan) bersama-sama sebahagian daripada ahli jawatankuasa kerja Pertubuhan Kebajikan Adina semasa acara di Wad Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Turut sama menyokong ialah Encik Faiq Asyraf Abd. Rahman yang memangku jawatan Ketua Pegawai Eksekutif serta sekumpulan Sahabat Sukarelawan yang bertugas mengikut keperluan program.

Puan Nurdiena Mohd. Mardzi (kiri) selaku Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Adina menyantuni kanak-kanak yang merupakan pesakit kanser.

Menurut Puan Nurdiena Mohd. Mardzi, cabaran utama dalam isu kanser kanak-kanak ialah diagnosis yang lewat, apabila gejala awal sering disalah anggap sebagai demam, alahan atau jangkitan biasa.

Kebanyakan ibu bapa tidak menyedari tanda-tanda awal seperti pucat, lebam atau bengkak yang luar biasa, sekali gus menyebabkan rawatan dimulakan pada peringkat lewat dan peluang sembuh menjadi semakin tipis.

Cabaran kedua pula melibatkan jarak hospital yang jauh memandangkan rawatan khusus hanya disediakan di hospital utama seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Bahru.

“Disebabkan itu, keluarga dari luar bandar perlu berulang-alik dalam jarak yang jauh yang memenatkan dan membebankan dari segi masa dan kewangan,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa terdapat ibu bapa yang terpaksa meninggalkan pekerjaan untuk menemani anak di hospital kerana tiada pilihan lain.

Keadaan itu membawa kepada cabaran ketiga, iaitu beban kewangan yang tinggi yang meliputi kos ubat, pengangkutan, tempat tinggal dan pemakanan khas.

“Tumpuan penuh terhadap penjagaan anak yang menghidap kanser menyebabkan banyak keluarga kehilangan sumber pendapatan, manakala bantuan yang diterima sering tidak mencukupi,” jelasnya.

Cabaran keempat yang turut memberikan kesan besar ialah kekurangan sokongan emosi dalam kalangan pesakit cilik yang berasa trauma, takut dan sunyi semasa menjalani rawatan.

“Ibu bapa juga turut tertekan, mengalami keletihan, kebimbangan berterusan dan rasa bersalah, manakala akses kepada kaunseling atau sokongan psikososial di hospital masih belum menyeluruh,” ujar beliau.

Menurutnya, cabaran kelima ialah pendidikan yang terputus kerana rawatan jangka panjang menyebabkan kanak-kanak tertinggal dalam pelajaran.

“Tidak semua hospital menyediakan guru khas atau kelas dan hal ini menyebabkan anak-anak ini terputus daripada rutin persekolahan dan merindui rakan-rakan mereka,” tambahnya.

Lambang kesepaduan dan keprihatinan sejati apabila langkah “turun padang” diterjemah dengan sentuhan kasih buat kanak-kanak pesakit kanser.

Ketika ditanya mengenai langkah yang boleh diambil oleh masyarakat, Puan Nurdiena Mohd. Mardzi menegaskan bahawa terdapat empat perkara yang boleh dilakukan, iaitu meningkatkan kesedaran, menghulurkan sumbangan, memberikan sokongan moral dan berkongsi maklumat ini dengan lebih banyak orang.

Kredit Foto: Pertubuhan Kebajikan Adina
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi