Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menara Kuala Lumpur (MKL) telah memperkenalkan maskot terbaharunya, Kay Elle yang menjadi simbol kemesraan, kepelbagaian dan perpaduan rakyat Malaysia untuk tatapan pengunjung bangunan ikonik tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn. Bhd., Encik Khairil Faizal Othman menyatakan bahawa Kay Elle melambangkan identiti dan semangat rakyat di negara ini.
Ujar beliau,
Kay Elle merupakan personaliti, pencerita dan simbol rakyat yang mesra serta berbangga dengan warisan, kaya dengan kepelbagaian dan bersatu dalam satu semangat.
Tambahnya, MKL turut menganjurkan Pertandingan Rekaan Maskot Baharu yang bertemakan “Befriend Kay Elle” serta menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM2000 kepada para pemenang, selain pas masuk selama setahun, pakej cenderamata eksklusif dan set maskot terpilih.
Katanya lagi,
Pertandingan tersebut adalah peluang untuk rakyat Malaysia mencipta ikon dan seterusnya boleh diiktiraf di dalam dan di luar negara.
Maskot yang dipilih bakal menjadi identiti rasmi MKL, selain diabadikan sebagai koleksi cenderamata eksklusif.
Pertandingan berkenaan dibuka kepada rakyat Malaysia dengan peserta dikehendaki menghantar satu rekaan yang lengkap berserta cerita ringkas mengenai watak tersebut, termasuklah nama pereka, personaliti dan peranan maskot dalam dunia Kay Elle.
Individu yang berminat untuk menyertai pertandingan yang berlangsung dari 8 Ogos 2025 hingga 30 Ogos 2025 ini perlu mengisi borang penyertaan dan maklumat lanjut boleh didapati di laman rasmi Menara Kuala Lumpur atau boleh menghubungi talian 03-2630 3033.