Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPort Dickson – Sebanyak 40 peserta menyertai Kursus Dokumentasi dan Akreditasi Amalan Pengilangan Baik (GMP) Pengeluaran Kit Radiofarmaseutikal yang menekankan kepatuhan terhadap piawaian antarabangsa dalam bidang perubatan nuklear.
Kursus anjuran Kumpulan Teknologi Radiofarmaseutikal (KTR), Bahagian Teknologi Perubatan, Agensi Nuklear Malaysia itu berlangsung pada 18 hingga 22 Ogos 2025, sekali gus menzahirkan peranan agensi dalam memacu kecemerlangan teknologi kesihatan negara.
Fokus utama kursus ini adalah pada penghasilan kit radiofarmaseutikal berasaskan Teknetium-99m, termasuklah DTPA, DMSA, MDP dan EDTMP yang merupakan komponen penting dalam diagnosis serta rawatan moden.
Bagi memastikan kualiti terjamin, semua proses penghasilan kit dijalankan mengikut garis panduan Sistem Kerjasama Pemeriksaan Farmaseutikal (PIC/s) serta keperluan Agensi Regulatori Farmasi Kebangsaan (NPRA).
Selain aspek teknikal, kursus ini turut menitikberatkan penyediaan dokumen yang lengkap, pembangunan prosedur operasi standard (SOP) dan penghasilan dosier bagi tujuan pendaftaran yang menjadi asas kepada pengiktirafan antarabangsa.
Nilai tambah kursus ini diserlahkan dengan kehadiran dua penceramah jemputan dari Indonesia, iaitu Dra. Widyastuti Widjaksana dan Ibu Anna Roseliana Abdullah yang berkongsi pengalaman serta amalan terbaik negara mereka.
Perkongsian tersebut memberi perspektif baharu kepada peserta dan memperkukuh kefahaman mereka terhadap kepelbagaian pendekatan dalam penghasilan serta pengiktirafan produk radiofarmaseutikal.
Sesi kursus ini turut menyediakan latihan praktikal dan demonstrasi langsung bagi mendedahkan peserta kepada suasana sebenar penghasilan kit radiofarmaseutikal.
Melalui pendekatan ini, peserta berpeluang memahami setiap langkah proses dengan lebih mendalam dan mengaplikasikan prinsip GMP secara terus dalam persekitaran makmal.
Dalam ucapan perasmian, Timbalan Ketua Pengarah (Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi), Agensi Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin menegaskan bahawa kursus ini mencerminkan komitmen agensi dalam menjamin keselamatan serta keberkesanan produk perubatan nuklear.

Beliau menambah, radiofarmaseutikal memainkan peranan penting dalam diagnosis dan rawatan moden, manakala pematuhan kepada GMP pula menjadi jaminan utama terhadap keselamatan dan keberkesanan produk.
Keyakinan beliau jelas apabila menekankan bahawa kursus sebegini mampu memperkukuh kepakaran tempatan sekali gus menyokong pembangunan teknologi perubatan nuklear negara.
Selain itu, Pengarah Bahagian Teknologi Perubatan, YBrs. Ts. Dr. Mohd Rodzi Ali menekankan kepentingan kursus ini dalam membentuk budaya kerja saintifik yang selari dengan piawaian antarabangsa.
“Kursus ini memperkukuh keyakinan terhadap mutu dan keselamatan produk yang dihasilkan,” ujarnya sambil menzahirkan harapan agar usaha tersebut menjadi penanda aras kepada penghasilan produk perubatan nuklear negara.
Sepanjang kursus, pengisian disusun secara interaktif merangkumi ceramah teknikal, latihan praktikal, simulasi penyediaan dokumen dan perbincangan berkumpulan.


Penglibatan aktif peserta daripada pelbagai latar belakang kepakaran membuktikan wujudnya kesungguhan kolektif untuk memperkukuh sistem kualiti perubatan nuklear negara.