Diterbitkan pada 27 Ogos 2025, 17:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuh kepakaran ahli fisioterapi apabila menganjurkan bengkel “Manual Peripheral Joint Mobilisation: Refining The Basic” di Klinik Fisioterapi UKM.

Bengkel selama dua hari itu menghimpunkan 20 ahli fisioterapi daripada institusi kesihatan dan akademik dengan matlamat meningkatkan kemahiran asas teknik mobilisasi sendi periferal secara manual.

Sesi latihan dikendalikan oleh Pensyarah Kanan Program Fisioterapi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tuan Haji Bahman Jamaluddin yang berpengalaman luas dalam bidang fisioterapi muskuloskeletal dan terapi manual.

Sesi penerangan teori oleh Pensyarah Kanan Program Fisioterapi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Tuan Haji Bahman Jamaluddin.

Fokus utama bengkel adalah untuk memperkenalkan teknik mobilisasi yang membantu pesakit mengurangkan kesakitan sendi, mengatasi kekakuan serta meningkatkan fungsi pergerakan agar aktiviti harian dapat dijalankan dengan lebih selesa.

Pendekatan mobilisasi manual ini amat penting dalam rawatan fisioterapi, khususnya bagi pesakit yang berdepan dengan masalah muskuloskeletal seperti osteoartritis atau gangguan pergerakan akibat trauma.

Penganjuran bengkel seumpama ini turut memberi peluang kepada peserta untuk menilai semula teknik asas yang telah dipelajari, mengasah kemahiran manual melalui latihan praktikal serta mendapatkan bimbingan langsung daripada pakar bagi meningkatkan keyakinan dan kualiti amalan klinikal mereka.

Menurut pihak penganjur, pemantapan kemahiran asas sebegini menjadi tunjang kepada penilaian klinikal serta intervensi rawatan yang berkesan berasaskan bukti.

Latihan yang berterusan dalam aspek asas membolehkan ahli fisioterapi membina keyakinan, mengelakkan kesilapan dalam amalan klinikal serta memastikan setiap teknik yang diaplikasikan benar-benar memberikan kesan positif kepada pesakit.

Penceramah jemputan, Tuan Haji Bahman Jamaluddin memberikan penerangan terperinci mengenai teknik mobilisasi sendi periferal kepada para peserta bengkel.

Inisiatif ini sejajar dengan peranan UKM sebagai universiti yang menggalakkan perkongsian kepakaran dalam pembangunan kesihatan dan menyokong usaha Program Fisioterapi untuk melaksanakan pembangunan profesional berterusan dalam kalangan ahli fisioterapi.

Selain memperkukuh kemahiran klinikal, bengkel ini turut membuka ruang jalinan kerjasama antara UKM dengan institusi kesihatan awam dan swasta yang berpotensi merangsang penyelidikan, inovasi baharu serta pembangunan teknologi rawatan sendi dan pergerakan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi