Diterbitkan pada 11 September 2025, 16:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Jenama tempatan yang terkenal dengan kepakaran dalam perkhidmatan pembaikan dan penyelenggaraan telefon pintar, Zfix, berjaya melakar sejarah apabila mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori Penukaran Bateri iPhone Terbanyak dalam Masa 12 Jam.

Pihak Zfix bersama-sama wakil MBOR, Puan Menaga Vadamalai (kiri).

Acara bersejarah itu berlangsung menerusi Pesta Mobile Zfix (ZMF) baru-baru ini, bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam di cawangan baharunya di Bangunan PKNS Bizpoint, Seksyen 7, Shah Alam.

Lebih membanggakan, rekod berkenaan tercipta lebih awal pada pukul 4.22 petang, iaitu hanya selepas enam jam 22 minit, yakni kira-kira separuh daripada tempoh yang ditetapkan.

Menurut wakil Pengarah Zfix, Encik Muhammad Zulhelmi Mohd. Yusof, cubaan mencipta rekod ini bukan semata-mata tentang angka, tetapi untuk menyampaikan mesej bahawa industri perkhidmatan telefon pintar boleh dijalankan secara sah, telus dan diiktiraf.

Katanya,

Pesta Mobile Zfix merupakan simbol komitmen kami terhadap integriti, inovasi dan khidmat pelanggan serta kami juga ingin membuktikan bahawa jenama tempatan turut berupaya menetapkan piawaian industri pada tahap yang tertinggi.

Sejak ditubuhkan pada tahun 2022, Zfix berkembang pesat sebagai penyedia perkhidmatan yang dipercayai dalam pembaikan telefon pintar, khususnya peranti Apple dengan menggunakan pendekatan yang profesional, telus dan beretika.

Encik Muhammad Zulhelmi Mohd. Yusof mewakili Pengarah Zfix ketika menerima pengiktirafan MBOR.

Percubaan mencipta rekod MBOR itu melibatkan 30 orang juruteknik bertauliah, 10 orang petugas audit dan sokongan operasi serta lima kaunter verifikasi sah yang memastikan setiap proses dijalankan secara sistematik.

Dengan sasaran lebih daripada 1000 unit bateri ditukar dalam masa 12 jam, usaha tersebut menonjolkan kecekapan Zfix, selain menekankan kepentingan penjagaan peranti pintar secara profesional dan menggunakan alat ganti tulen.

Objektif utama inisiatif tersebut adalah untuk mewujudkan penanda aras kebangsaan dalam bidang perkhidmatan pembaikan telefon pintar serta menguji keupayaan operasi Zfix secara besar-besaran di bawah tekanan masa.

Selain itu, percubaan ini menekankan kepatuhan terhadap piawaian industri yang ketat dari aspek keselamatan, dokumentasi dan integriti, sekali gus meningkatkan kesedaran awam mengenai perkhidmatan bertauliah.

Setiap penukaran bateri direkodkan dengan nombor siri lama dan baharu, dimasukkan ke dalam sistem log manual dan digital, disahkan oleh juruteknik dan penyelia teknikal serta dirakam melalui video tanpa henti sebagai bukti sahih.

Semua data tersebut diaudit secara langsung dan diserahkan kepada pihak MBOR dalam tempoh 48 jam selepas acara berakhir bagi tujuan pengiktirafan rasmi.

Sebahagian daripada pelanggan Zfix yang mengunjungi cawangan baharu Zfix di Bangunan PKNS Bizpoint, 67, Jalan Pumbum P7/P, Seksyen 7, Shah Alam.

Bersempena dengan percubaan rekod itu, ZMF turut menganjurkan banyak aktiviti sampingan seperti pemeriksaan kesihatan telefon percuma; bengkel mini penjagaan peranti; cabutan bertuah; reruai bergambar interaktif; cabaran TikTok serta pelbagai kemudahan juga disediakan, misalnya zon rehat; Wi-Fi percuma; ruang kolaborasi jenama dan zon kanak-kanak.

Acara ini disasarkan sebagai platform inklusif untuk pengguna, pencinta teknologi dan keluarga yang ingin memahami dunia perkhidmatan telefon pintar dengan lebih mendalam.

ZMF bukan sahaja acara teknikal, malah inisiatif komuniti untuk memperkasakan pengguna dalam menjaga peranti mereka secara sah, selamat dan mengikut piawaian industri.

Pengiktirafan rasmi daripada MBOR telah mengangkat nama Malaysia sebagai peneraju dalam amalan perkhidmatan teknologi yang bertauliah serta diyakini pada peringkat nasional.

Kredit Foto: Zfix
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi