Diterbitkan pada 3 Oktober 2025, 14:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Fakulti Sains Gunaan (FSG) dengan kerjasama Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri dan Bahagian Hal Ehwal Akademik telah menganjurkan The 3rd International Science and Technology Colloquium (i-COSTECH) 2025 secara maya pada 1 hingga 2 Oktober 2025.

Kolokium yang bertemakan “Innovative Frontiers in Science: Bridging Technology for a Sustainable Future”  itu menjadi wadah perkongsian ilmu dan inovasi demi menyumbang kepada kemajuan sains dan kelestarian alam sekitar dengan menghimpunkan para penyelidik, ahli akademik dan industri.

Majlis perasmian kolokium tersebut telah disempurnakan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor yang menekankan komitmen UiTM dalam memperkukuh budaya penyelidikan dan inovasi merentas sempadan dalam ucapannya.

YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor ketika berucap dalam Majlis Perasmian Pembukaan i-COSTECH 2025.

Menurut beliau,

UiTM sentiasa berusaha menyediakan ekosistem yang kondusif bagi perkembangan penyelidikan dan inovasi, bukan sahaja untuk para akademik, malah bagi mahasiswa yang bakal menjadi pemimpin pada masa hadapan.

Ujarnya lagi,

Melalui i-COSTECH 2025, kita dapat mengangkat semangat kolaborasi dan perkongsian ilmu antara universiti, industri dan komuniti antarabangsa, seiring dengan matlamat UiTM untuk menjadi peneraju inovasi yang berimpak tinggi pada peringkat global.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim menyatakan rasa bangganya terhadap kejayaan penganjuran i-COSTECH 2025 yang melibatkan kerjasama daripada pelbagai pihak.

YBrs. Dr. Nur Nasulhah Kasim ketika menyampaikan kata alu-aluan dalam Majlis Perasmian Pembukaan i-COSTECH 2025.

Katanya,

Saya amat menghargai dedikasi dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua ahli jawatankuasa, khususnya para pelajar pascasiswazah yang bertindak sebagai sukarelawan kerana tanpa sokongan padu daripada mereka, program berskala antarabangsa ini tidak dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penganjur bersama dari Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universitas Airlangga, Indonesia dan Yala Rajabhat University, Thailand yang telah menjadikan i-COSTECH 2025 sebagai platform kolaborasi serantau.

Sementara itu, Pengarah Program I i-COSTECH 2025, YBrs. Dr. Roziana Mohamed Hanaphi ketika ditemu bual di Makmal Komputer, Perpustakaan Dato Jaafar Hassan (PDJH), UiTM Cawangan Perlis menjelaskan bahawa i-COSTECH 2025 merupakan kemuncak kepada siri program ilmiah yang telah dilaksanakan sejak awal tahun ini.

Pengarah Program I, YBrs. Dr. Roziana Mohamed Hanaphi (kiri) ketika berbincang dengan Timbalan Pengarah Program, YBrs. Dr. Khuzaimah Nazir (kanan) di PDJH, UiTM Cawangan Perlis.

Kata beliau,

Antara program yang telah dilaksanakan termasuklah bengkel “Mastering AI Tools: From Theory to Practice” pada 19 April 2025 yang memberikan pendedahan kepada peserta mengenai teknologi kecerdasan buatan serta bengkel “Bootcamp – Crafting Quality Writing” pada 19 dan 20 Jun 2025 yang menekankan teknik penulisan akademik dan komunikasi penyelidikan.

Beliau menyatakan bahawa kesemua kejayaan usaha berkenaan diraikan menerusi i-COSTECH 2025 yang menjadi titik pertemuan antara para penyelidik untuk berkongsi idea dan membentuk jaringan kerjasama baharu.

Beliau turut mengumumkan bahawa Anugerah Pembentang Terbaik akan disampaikan secara maya, sejajar dengan pelaksanaan program secara dalam talian bagi mengiktiraf kualiti penyelidikan dan pembentangan para peserta.

YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Suganthi Appalasamy ketika membentangkan kertas kajian dalam i-COSTECH 2025.

i-COSTECH 2025 memberikan tumpuan pada empat bidang utama, iaitu biologi gunaan, teknologi marin dan agroteknologi; fizik industri dan teknologi bahan; kimia gunaan, kimia hijau dan alam sekitar; serta teknologi polimer dan teknologi industri.

Kolokium ini berjaya menghimpunkan sebanyak 143 kertas penyelidikan daripada para peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Libya, termasuklah universiti awam, swasta serta sektor industri.

Para peserta dibahagikan kepada 25 sesi, disokong oleh 15 pembentangan jemputan dan dikendalikan oleh 25 pengerusi sesi serta diperkukuh oleh sokongan 35 orang ahli jawatankuasa dan lapan orang sukarelawan.

YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhana Abdul Halim ketika membentangkan kertas kajian dalam i-COSTECH 2025.

Sepanjang i-COSTECH 2025 itu berlangsung, sebanyak enam orang tokoh pembentang utama turut berkongsikan kepakaran mereka, antaranya YBrs. Profesor Dr. Mohd Azlan Mohd Ishak (UiTM), YBrs. Dr. Anjar Tri Wibowo (Universitas Airlangga, Indonesia), YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail (UiTM), YBrs. Profesor Ts. Dr. Norhana Abdul Halim (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia), YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Suganthi Appalasamy (Universiti Malaysia Kelantan) dan Penolong Profesor, YBrs. Dr. Wilaiwan Kaewtathip (Yala Rajabhat University, Thailand).

YBrs. Dr. Anjar Tri Wibowo ketika membentangkan kertas kajian dalam i-COSTECH 2025.
YBrs. Dr. Wilaiwan Kaewtathip ketika membentangkan kertas kajian dalam i-COSTECH 2025.

Kehadiran mereka telah memperkaya perbincangan dan memberikan inspirasi kepada para peserta dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran global.

Majlis Penutupan i-COSTECH 2025 telah disempurnakan oleh Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim yang menyifatkan i-COSTECH 2025 sebagai platform penting dalam mengangkat martabat penyelidikan dan inovasi pada peringkat antarabangsa.

YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim ketika berucap dalam Majlis Penutupan i-COSTECH 2025.

Beliau menyatakan bahawa kolokium ini telah membuktikan sains dan teknologi merupakan jambatan yang menghubungkan masyarakat global dalam usaha mencapai kelestarian

Ujar beliau,

Saya berharap jaringan yang dibina melalui i-COSTECH 2025 akan terus berkembang dan menjadi pemangkin kepada penyelidikan berimpak tinggi yang memberikan manfaat kepada negara dan dunia.

Penganjuran i-COSTECH 2025 turut mendapat kerjasama daripada empat universiti rakan strategik, iaitu Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universitas Airlangga Indonesia dan Yala Rajabhat University Thailand, sekali gus mengukuhkan jaringan akademik dan penyelidikan serantau.

i-COSTECH 2025 menjadi platform kolaborasi yang menggalakkan perkongsian idea merentas disiplin, negara dan sektor industri, selaras dengan aspirasi UiTM untuk memupuk budaya penyelidikan dan inovasi yang lestari.

Penganjuran i-COSTECH 2025 berjaya menarik penyertaan sebanyak 143 kertas penyelidikan daripada para pembentang pelbagai negara.

Dengan penyertaan para penyelidik dari pelbagai negara dan kerjasama baik yang diberikan, program ini bukan sahaja menjadi pentas perkongsian ilmu, malah menjadi pemangkin kepada pembentukan penyelesaian lestari untuk masa hadapan.

Dengan penekanan terhadap inovasi dan kerjasama global, UiTM Cawangan Perlis terus mengukuhkan peranannya sebagai institusi yang memacu pembangunan sains dan teknologi untuk kesejahteraan sejagat.

Turut menyertai kolokium ini ialah Pengarah Program II i-COSTECH 2025, YBrs. Dr. Rizana Yusof; Koordinator Program FSG, YBrs. Dr. Rosyaini Afindi Zaman; Koordinator Program FSG, YBrs. Dr. Faiezah Hashim; Koordinator Unit Penerbitan dan Kecemerlangan, YBrs. Dr. Azliana Ramli; Koordinator Unit Perundingan, Inovasi dan Kepakaran, Puan Nur Syafiqah Rahim; Koordinator Unit Pengurusan Penyelidikan, YBrs. Dr .Ahmad Suhail Khazali; Ketua Unit Kualiti dan Akreditasi, YBrs. Dr. Zuliahani Ahmad; Koordinator Unit Hal Ehwal Kurikulum, YBrs. Dr. Siti Nor Din dan tetamu undangan lain.

Kredit Foto: Fakulti Sains Gunaan, UiTM Cawangan Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi