Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKepong – Aksi dua ekor gajah betina berusia 50 tahun yang mandi di sungai menjadi tumpuan ribuan pengunjung pada Hari Terbuka Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) 2025 yang berlangsung pada 4 Oktober lalu.
Selain pertunjukan tersebut, pelbagai acara lain turut diatur bagi memeriahkan sambutan seperti lawatan berpandu ke denai alam, pameran perhutanan, lawatan makmal dan galeri penyelidikan, bicara ringan, permainan interaktif, mencari harta karun, pasar percuma, jualan anak pokok serta jualan makanan dan minuman.
Program tahunan itu diadakan bersempena Sambutan Ulang Tahun ke-40 FRIM dan berjaya menarik kehadiran lebih 5000 pengunjung terdiri daripada pelajar, penyelidik, penggiat industri, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti setempat.
Kehadiran dua ekor gajah dari Pahang menjadi antara tarikan utama kerana FRIM lazimnya tidak menampilkan haiwan untuk tontonan umum.

Menurut penganjur, inisiatif membawa gajah tersebut merupakan sebahagian daripada acara sampingan yang dirancang bagi memberikan pengalaman baharu dan mendekatkan masyarakat dengan dunia haiwan serta persekitaran semula jadi.
Suasana bertambah meriah apabila pengunjung, khususnya kanak-kanak, berpeluang memberi makan kepada haiwan berkenaan sebelum menyaksikan saat mencuit hati ketika kedua-dua gajah itu dimandikan di sungai berhampiran kawasan pameran.
Pengasuh gajah memaklumkan bahawa haiwan berkenaan perlu kerap disejukkan kerana tidak berpeluh dan tubuhnya mudah kering, justeru aktiviti mandi penting bagi memastikan keselesaan serta kesihatan gajah.
Sementara itu, aktiviti lain seperti pameran perhutanan, permainan interaktif dan pencarian harta karun turut menarik perhatian ramai pengunjung yang ingin menikmati pengalaman menyeronokkan di kawasan hutan tropika FRIM.
Bagi menambah elemen cabaran, sebuah jambatan mini atau titi gantung disediakan untuk memberikan peluang kepada pengunjung melintasi anak sungai sambil menikmati suasana alam sekitar.

Selain itu, perkhidmatan kereta bugi turut disediakan sebagai kemudahan kepada pengunjung yang tidak mahu atau tidak mampu berjalan kaki mengelilingi kawasan lawatan yang luas.
Dalam majlis pelancaran rasmi, Ketua Pengarah FRIM, YBhg. Datuk Dr. Ismail Parlan menzahirkan penghargaan atas sambutan luar biasa yang menunjukkan keyakinan serta sokongan masyarakat terhadap peranan FRIM dalam penyelidikan dan pemuliharaan hutan tropika.
Beliau menegaskan bahawa selepas empat dekad penubuhan, FRIM komited untuk terus memperluas sumbangan kepada negara melalui penyelidikan berimpak tinggi, inovasi hijau dan usaha pemeliharaan biodiversiti.
“Saya optimis dengan sokongan berterusan daripada semua pihak, FRIM akan terus relevan dan berwibawa sebagai institusi penyelidikan unggul demi kesejahteraan rakyat dan generasi masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau lagi, FRIM akan mengekalkan kedudukannya sebagai peneraju dalam bidang penyelidikan perhutanan tropika, biodiversiti, perubahan iklim, bioteknologi, keluaran hutan dan pembangunan berasaskan sumber semula jadi.
YBhg. Datuk Dr. Ismail turut menambah bahawa kejayaan FRIM sepanjang 40 tahun merupakan hasil komitmen berterusan kementerian, rakan kerjasama, pihak berkepentingan dan seluruh warganya.

Turut hadir dalam program ini ialah mantan Ketua Pengarah FRIM, YBhg. Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor; Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM, YBrs. Dr. Norwati Muhammad; serta Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FRIM, Encik Mahmudin Saleh.