Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Hari Inovasi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 2025 yang berlangsung di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP hari ini menyerlahkan semangat inovasi dan kreativiti warga kerja dalam memperkasakan organisasi serta memperkukuh citra bahasa kebangsaan.
Bertemakan “Inovasi Pemangkin Transformasi, Pemacu Produktiviti,” majlis tersebut menyaksikan penganugerahan tujuh kategori utama dengan sebanyak 119 penyertaan daripada pelbagai bahagian, cawangan dan wilayah DBP di seluruh negara.
Majlis ini menjadi wadah untuk menghargai usaha, kreativiti dan semangat kerja berpasukan warga DBP dalam melahirkan pelbagai hasil inovatif yang memberikan manfaat kepada organisasi dan masyarakat.
Antara anugerah yang menjadi tumpuan termasuklah Anugerah Inovasi Ketua Pengarah yang merupakan pengiktirafan tertinggi kepada hasil inovasi dalam aspek penyampaian perkhidmatan dan peningkatan citra organisasi.
Pada tahun ini, anugerah berprestij tersebut dimenangi oleh Bahagian Buku Sekolah, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM5,000, plak dan sijil penghargaan.

Dalam kategori Anugerah Citra Projek, Bahagian Buku Sekolah turut unggul apabila projek Buku Teks Digital Interaktif (BTDI) Cekap Baca diumumkan sebagai juara dengan hadiah RM4,000. Tempat kedua bagi kategori yang sama dimenangi oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia menerusi Pembangunan Pelan Strategik Pengurusan Sumber Manusia (meraih hadiah RM3,000), manakala tempat ketiga menjadi milik Bahagian Majalah dengan projek Kembara Majalah Dalam Kelas (dengan hadiah RM2,000).



Dalam kategori Anugerah Karyawan Inovatif, Puan Normala Mohamad Yusof dari Bahagian Buku Bahasa menerima wang tunai berjumlah RM1,000, plak dan sijil penghargaan atas sumbangan cemerlang beliau dalam memperkukuh kreativiti dan inovasi organisasi.

Sementara itu, Anugerah Citra Karya menampilkan pemenang dalam pelbagai kategori karya yang dihasilkan oleh warga DBP. Bagi kategori Karya Eceran Ilmiah, pemenangnya ialah Encik Abd Kadir Mohd Ayub dari Bahagian Majalah melalui artikelnya bertajuk “Mengekang Politik Taksub” yang diterbitkan dalam majalah Dewan Masyarakat, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM750.
Untuk kategori Karya Eceran Kreatif pula dimenangi oleh Puan Rabi’ahtul Adawiyah Md. Saleh dari Bahagian Promosi dan Pengiktirafan melalui puisinya yang bertajuk “Pinjamkan Aku Sampul Surat” yang diterbitkan dalam Berita Harian dan turut menerima wang tunai sebanyak RM750.


Bagi Kategori Buku Kreatif, Puan Azura Mohd Halid dari DBP Wilayah Selatan dinobatkan sebagai pemenang menerusi karya Bayangan Lelaki Berkumis Manis di Prinsengracht, dengan hadiah RM1,000, manakala kategori Karya Media Baharu dimenangi oleh Puan Rosmiza Ismail dari Bahagian Buku Sekolah melalui projek “Pahlawan Tempatan”, juga menerima wang tunai berjumlah RM1,000.


Selain itu, Anugerah Pengurusan Kewangan Terbaik turut diberikan kepada DBP Wilayah Selatan dan Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum atas pelaksanaan pengurusan kewangan yang cekap dan telus, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM1,000, plak dan sijil penghargaan.


Pada masa yang sama, Hadiah Mencipta Tema Hari Inovasi dimenangi oleh Puan Siti Zubaidah Mishan @ Mohd Amin dari Bahagian Pengurusan Sumber Manusia yang menerima wang tunai sebanyak RM500, plak dan sijil penghargaan atas sumbangan idea kreatif dalam mencipta tema Hari Inovasi DBP.

Bagi Hadiah Galakan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK), anugerah tersebut diberikan kepada Puan Hadinie Yunus Gadong dari DBP Cawangan Sabah menerusi projek Ringkasan untuk Status Aduan (STAD) yang berjaya memperkenalkan penambahbaikan perkhidmatan dalaman organisasi.

Penganjuran Hari Inovasi DBP bukan sahaja menjadi platform untuk menghargai usaha dan pencapaian warga kerja, malah menjadi pemangkin kepada semangat baharu dalam melahirkan idea inovatif ke arah memperkukuh peranan DBP sebagai peneraju bahasa, sastera dan budaya kebangsaan.
Turut hadir menyempurnakan majlis ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia, YBhg. Dato’ Ts. Dr. Haji Aminuddin Hassim; Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan serta Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari bersama-sama dengan Ahli Lembaga Pengelola DBP, pihak pengurusan tertinggi DBP dan warga kerja DBP.