Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam usaha mencapai pelepasan sifar karbon menjelang masa hadapan melalui platform Komuniti Sifar Bahan Pelepasan Asia (AZEC).
Dalam ucapan pembukaan Mesyuarat Pemimpin AZEC Kali Ketiga 2025 yang dipengerusikan oleh Malaysia semalam, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan penghargaan kepada Jepun selaku pengerusi bersama serta semua rakan AZEC atas dedikasi mereka dalam memajukan wahana kerjasama penting itu.
“Inisiatif ini seiring dengan keutamaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, yang menekankan tema Keterangkuman dan Kelestarian. Kedua-dua rangka kerja ini memperkukuh visi bersama untuk menjadikan Asia sebuah rantau yang makmur melalui kerjasama, inovasi dan pertumbuhan yang saksama,” katanya.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia percaya bahawa AZEC akan terus menjadi wadah kerjasama yang memberikan manfaat bersama dalam peralihan tenaga, seterusnya memperkukuh perkongsian yang mampu membawa kemajuan nyata kepada rantau ini dan dunia.
Menurut beliau, prinsip AZEC yang menekankan “satu matlamat, pelbagai laluan” selari dengan pendekatan nasional Malaysia terhadap peralihan tenaga yang mengiktiraf keperluan setiap negara mencari jalan tersendiri ke arah masa depan rendah karbon.
Beliau turut menekankan kepentingan pembangunan progresif Grid Kuasa ASEAN sebagai tunjang kepada keselamatan tenaga jangka panjang dan aspirasi iklim serantau.
“Malaysia sebagai peserta aktif dalam projek tenaga rentas sempadan menggesa semua rakan AZEC agar menyalurkan kepakaran teknikal dan komitmen kewangan bagi mempercepatkan integrasi Grid Kuasa ASEAN. Rangkaian tenaga serantau yang saling terhubung secara sepenuhnya akan membuka potensi tenaga boleh baharu Asia serta memastikan akses tenaga yang lebih adil dan mampu milik,” ujar beliau.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa Malaysia telah mengambil langkah tegas memperkukuh tadbir urus iklim dan mempercepatkan peralihan tenaga, antaranya melalui penggubalan Akta Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 yang menjadi asas perundangan bagi pengurusan karbon berskala besar dan pembangunan ekonomi rendah karbon.
Selain itu, Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara bakal dibentangkan tidak lama lagi, disusuli dengan pelaksanaan Cukai Karbon pada tahun 2026.
“Inisiatif ini menandakan peralihan yang jelas daripada sekadar cita-cita kepada pelaksanaan yang lebih konkrit,” katanya.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyeru agar sokongan kewangan terhadap pelaburan dalam teknologi rendah karbon diteruskan, termasuklah dalam bidang hidrogen, CCUS, penyimpanan bateri dan biobahan api.
Mengakhiri ucapannya, beliau menegaskan perlunya setiap negara dalam AZEC memperbaharui iltizam bersama.
“Usaha kita mencapai karbon neutral mesti bersifat inklusif, digerakkan oleh teknologi dan diselaraskan pada peringkat serantau,” katanya.