Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangHutan tropika merupakan khazanah alam yang amat bernilai kerana peranannya dalam mengekalkan keseimbangan ekologi dan kelangsungan kehidupan global. Dari segi ekologi, hutan tropika berfungsi untuk menstabilkan iklim dengan menyerap karbon dioksida dan membebaskan oksigen, sekali gus membantu mengurangkan kesan pemanasan global. Oleh itu, hutan tropika sering digambarkan sebagai “paru-paru dunia” dalam memastikan keseimbangan kitaran biogeokimia alam sekitar. Selain itu, litupan hutan tropika turut memainkan peranan penting dalam mengawal suhu persekitaran, corak hujan dan kualiti udara.
Hutan tropika merupakan habitat kepelbagaian biologi yang menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna. Kepelbagaian biologi ini penting untuk mengekalkan kestabilan ekosistem serta menyokong pelbagai proses semula jadi. Hutan ini juga menjadi tapak penting untuk penyelidikan saintifik, khususnya dalam memahami interaksi perubahan ekologi, penemuan spesies baharu dan pemuliharaan sumber genetik yang bernilai kepada manusia dan alam sekitar.
Sehubungan dengan itu, usaha pemuliharaan dan pengurusan hutan tropika secara berterusan perlu disokong oleh pendekatan berasaskan kajian saintifik dan perancangan yang sistematik, terutamanya melalui pemahaman terhadap taburan pokok, komposisi spesies dan keadaan struktur dirian dalam sesuatu kawasan hutan. Oleh hal yang demikian, maklumat pemetaan pokok menjadi asas penting dalam menyokong perancangan dan penyediaan strategi pengurusan dan pemuliharaan hutan yang berkesan.
Pemetaan Pokok: Asas Pengurusan dan Pemuliharaan Hutan
Pemetaan pokok merujuk proses pengumpulan maklumat berkaitan dengan kedudukan atau lokasi sebenar pokok yang digabungkan dengan maklumat demografi pokok dengan bantuan teknologi moden seperti alat pengukuran hutan berasaskan laser, sistem maklumat geografi (GIS), penderiaan jauh dan penggunaan dron. Maklumat pemetaan ini seterusnya akan dijadikan sebagai rujukan dalam perancangan dan pelaksanaan langkah pengurusan hutan yang lebih efisien.
Pemuliharaan dan pengurusan hutan secara mampan di Malaysia dapat diperkukuh melalui penggunaan teknologi pemetaan pokok yang semakin berkembang. Pendekatan ini membolehkan maklumat hutan dikumpulkan, dianalisis dan dimanfaatkan dengan lebih sistematik bagi tujuan keselamatan kawasan hutan serta menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar.
Faktor Kepentingan Pemetaan Pokok Hutan
Pemetaan pokok hutan bertujuan untuk mengumpulkan maklumat saintifik secara terperinci berkaitan dengan komposisi spesies flora, struktur hutan dan keadaan ekosistem persekitaran. Maklumat pemetaan ini penting untuk pemantauan kepelbagaian biologi, khususnya dalam mengenal pasti kawasan yang mengandungi spesies tumbuhan endemik dan terancam. Berasaskan maklumat saintifik ini, pengurusan hutan yang baik dapat dilaksanakan melalui perancangan aktiviti dan strategi yang berkesan bagi memastikan sumber hutan kekal mampan dan terpelihara.
Dari segi guna tanah, maklumat pemetaan membolehkan perancangan dilaksanakan secara lebih berhemah dengan pengenalpastian kawasan yang sesuai untuk perlindungan, pemulihan dan pembangunan dalam keadaan terhad. Kawasan ini boleh diklasifikasikan sebagai kawasan yang sensitif, misalnya cerun curam, tanah gambut dan kawasan tadahan air.
Menerusi maklumat pemetaan yang berkesan, kawasan tertentu wajar diberikan keutamaan dalam perancangan semasa sekiranya terdapat keperluan pemuliharaan spesies dan kepentingan alam sekitar. Pendekatan ini bukan sahaja melindungi fungsi ekosistem hutan, malah membantu mengurangkan risiko banjir, tanah runtuh dan kemerosotan kualiti alam sekitar akibat pembangunan yang tidak terkawal.

Pemetaan pokok juga boleh diintegrasikan bersama-sama maklumat lain seperti spesies pokok, jenis kanopi, tahap kerosakan, ketinggian pokok dan diameter pokok. Struktur dirian hutan yang seimbang penting untuk menstabilkan ekosistem kerana faktor ini mempengaruhi habitat kepelbagaian biologi, kesihatan hutan, pemuliharaan tanah, produktiviti hutan serta mengawal proses ekologi.
Maklumat daripada pemetaan pokok juga berupaya membantu pihak berkepentingan seperti pengurus hutan dan pembuat dasar dalam memahami keadaan sesuatu hutan. Maklumat yang dibekalkan dapat dimanfaatkan untuk menilai taburan spesies, keadaan demografi hutan serta hubungannya dengan faktor persekitaran lain seperti jenis tanah, ketinggian kawasan, iklim mikro dan faktor lain yang berkaitan. Dalam konteks ini, habitat atau kawasan kemandirian spesies pokok tertentu yang hampir pupus, terancam dan dilindungi dapat diselamatkan dan dipelihara untuk generasi akan datang
Hasil hutan seperti kayu balak merupakan satu daripada sumber penjanaan pendapatan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Sistem tebangan secara memilih diamalkan bagi memastikan kelestarian sumber kayu-kayan pada masa hadapan. Integrasi sistem pemetaan menggunakan teknologi terkini seperti penderiaan jauh dan dron berupaya meningkatkan keselamatan kawasan hutan simpanan kekal daripada aktiviti pencerobohan dan pembalakan haram.
Selain itu, maklumat pemetaan juga boleh dimanfaatkan dalam aktiviti pemilihan pokok tebangan di kawasan hutan pengeluaran. Kedudukan pokok dan lokasi kawasan hutan khas yang mengandungi spesies yang tumbuh secara berkumpulan seperti meranti seraya (Rubroshorea curtisii), meranti bukit (Rubroshorea platyclados) dan kapur (Dryobalanops aromatica) dapat dikenal pasti. Hal ini seterusnya membolehkan pelaksanaan tindakan pengurusan tertentu bagi meminimumkan impak kerosakan dirian hutan selepas tebangan terhadap spesies tersebut.
Strategi Pelaksanaan Pemetaan Pokok
Pendekatan konvensional: Kerja lapangan dan pemerhatian
Kaedah pemetaan pokok konvensional melibatkan aktiviti pemerhatian, pengukuran dan pengumpulan maklumat yang dijalankan secara manual di lapangan. Melalui kaedah ini, pengambilan maklumat di kawasan hutan boleh dilaksanakan, sama ada meliputi keseluruhan kawasan hutan atau dibahagikan kepada beberapa petak pensampelan yang dipilih secara sistematik, berstrata atau rawak. Saiz petak adalah bergantung pada keperluan kajian yang dijalankan. Sebagai contoh, petak pensampelan bersaiz 20 meter × 20 meter, 60 meter × 60 meter dan 100 meter × 100 meter.

Setiap pokok di dalam petak pensampelan tersebut akan ditanda dan maklumatnya direkodkan. Maklumat yang dikumpulkan merangkumi spesies pokok, diameter dan ketinggian pokok, saiz silara, bentuk dan keadaan batang pokok serta kedudukan pokok. Secara tradisional, kedudukan pokok ini dilakar secara manual bagi menunjukkan taburan pokok dalam kawasan kajian atau petak pensampelan.
Seiring dengan kemajuan teknologi semasa, peralatan pengukuran hutan juga semakin canggih dengan penggunaan teknologi laser yang membolehkan pengukuran diamater dan ketinggian pokok, jarak serta bearing dilakukan dengan lebih mudah dan tepat di lapangan.


Untuk tujuan pemetaan, peta topografi dan kompas masih digunakan di lapangan. Lokasi bancian atau kerja lapangan direkodkan dan dikunci dengan menggunakan peranti penentu lokasi. Kedudukan pokok ditentukan melalui pengukuran jarak dan arah dengan menggunakan kompas, pita ukur dan kaedah trigonometri. Walau bagaimanapun, dengan adanya ketersediaan peralatan pengukuran hutan yang lebih canggih pada masa ini, penggunaan tenaga dan masa oleh pasukan bancian di lapangan dapat dijimatkan. Secara amnya, kaedah konvensional ini memerlukan tempoh masa yang panjang dan tenaga kerja yang banyak. Namun demikian, kaedah ini masih mampu mendapatkan maklumat berkaitan dengan lokasi pokok dengan lebih terperinci dan penting untuk tujuan pengesahan lapangan.
Teknologi terkini: Satelit, dron dan lidar
Selari dengan perkembangan teknologi, pemetaan pokok hutan kini semakin banyak menggunakan pendekatan berasaskan teknologi terkini yang lebih pantas dan mampu meliputi kawasan yang luas. Antara kaedah utama yang digunakan termasuklah penderiaan jauh dengan menggunakan imej satelit. Imej satelit beresolusi tinggi digunakan untuk mengenal pasti litupan hutan, jenis vegetasi dan perubahan kawasan hutan dari semasa ke semasa. Data ini dianalisis dengan menggunakan GIS bagi menghasilkan peta digital yang tepat dan terkini.

Selain itu, penggunaan dron juga dilihat semakin meluas dalam aktiviti pemetaan pokok, khususnya di kawasan hutan yang sukar dimasuki. Dron dilengkapi kamera multispektral mampu merakam imej udara beresolusi tinggi, sekali gus membolehkan pemetaan taburan pokok, penilaian keadaan semasa hutan dan pengenalpastian kawasan terosot dilakukan dengan lebih terperinci.
Teknologi Light Detection and Ranging (LIDAR) pula digunakan untuk menghasilkan model tiga dimensi struktur hutan. Teknologi ini berupaya mengukur ketinggian pokok, ketebalan kanopi dan kepadatan hutan dengan tepat, seterusnya membantu analisis struktur hutan dan simpanan karbon. Penggunaan GIS sebagai platform integrasi data membolehkan semua maklumat spatial disimpan, dianalisis dan dikemas kini secara berterusan bagi menyokong pengurusan hutan mampan.

Sebagai kesimpulannya, pemetaan pokok hutan menjadi asas penting dalam perancangan dan perangkaan strategi yang berkesan bagi tujuan pemuliharaan dan pengurusan hutan secara mampan. Maklumat pemetaan pokok dan hutan juga boleh dimanfaatkan dalam penentuan kawasan, perancangan guna tanah, pemantauan ekosistem hutan dan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan. Dalam mendepani isu dan cabaran perhutanan semasa seperti perubahan iklim dan tekanan pembangunan tempatan, maklumat pemetaan pokok memainkan peranan penting dalam menyokong usaha memastikan khazanah hutan tropika negara terus terpelihara demi kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Harfendy Osman (Penolong Pegawai Penyelidik Kanan), Ainnur Amira Anuar Musadad (Pegawai Penyelidik) dan Mohamad Danial Md Sabri (Pegawai Penyelidik), Program Hutan Asli, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.