Diterbitkan pada 21 Januari 2026, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) memperkukuh komitmennya dalam memastikan kelestarian industri air negara menerusi pelaksanaan projek infrastruktur berimpak tinggi dan penerapan teknologi hijau, selaras dengan matlamat mengurangkan kadar air bukan hasil (NRW) kebangsaan.

Dalam forum PAAB bersama-sama media, “Communicating Sustainability in the Water Sector” yang diadakan pada hari ini di Hotel Majestic Kuala Lumpur, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, YBrs. Ir. Zulkiflee Omar, menjelaskan bahawa peranan PAAB bukan sekadar pembangun aset, tetapi bertindak sebagai “bank untuk industri air” negara.

Melalui model ini, PAAB mengambil alih beban kewangan kerajaan negeri dengan memindahkan aset dan pinjaman persekutuan, membolehkan operator air memfokuskan sepenuhnya perbelanjaan operasi dan kualiti perkhidmatan kepada pengguna.

Isu utama yang membelenggu industri air negara ialah kadar NRW yang tinggi, sebahagian besarnya berpunca daripada paip usang.

Menurut YBrs. Ir. Zulkiflee Omar, Malaysia mempunyai kira-kira 140 ribu kilometer paip air, namun 39 ribu kilometer daripadanya ialah paip jenis simen asbestos (AC) yang telah tamat tempoh jangka hayat reka bentuknya. Paip AC ini rapuh dan mudah pecah, menyebabkan pembaziran air terawat yang kritikal.

Sementara itu, Pengerusi PAAB, YBhg. Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa menegaskan bahawa penggantian paip usang ini merupakan tindakan yang efisien untuk menyelesaikan masalah kehilangan fizikal air.

Ujarnya,

PAAB kini giat menggantikan paip ini dengan paip jenis keluli lembut yang lebih tahan lasak dan mampu bertahan sehingga 50 tahun. Sasaran jangka masa panjang PAAB adalah untuk melengkapkan penggantian paip kritikal ini menjelang tahun 2050 bagi memastikan kadar NRW dapat diturunkan secara drastik.

Untuk menghadapi cabaran perubahan iklim seperti kemarau dan banjir, PAAB telah mengintegrasikan elemen kelestarian dalam pembinaan loji rawatan air (LRA) baharu.

YBrs. Ir. Zulkiflee Omar mendedahkan bahawa kos tenaga elektrik merangkumi 40 peratus daripada kos operasi LRA. Oleh itu, loji baharu kini dilengkapi dengan motor dan peralatan berklasifikasi cekap tenaga yang mampu mengurangkan penggunaan tenaga serta jejak karbon.

Selain itu, PAAB bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia untuk pemetaan kawasan berisiko banjir dan ramalan paras air sungai bagi tempoh 20 tahun hingga 30 tahun akan datang. Langkah proaktif ini membolehkan PAAB mereka bentuk loji di lokasi yang lebih tinggi dan selamat daripada risiko banjir serta memastikan kelangsungan bekalan air ketika bencana.

Di negeri yang menghadapi kekurangan sumber air mentah seperti Melaka, PAAB dengan kerjasama Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air membina takungan air pinggiran sungai (TAPS) yang berfungsi sebagai tebatan banjir ketika musim tengkujuh dengan menakung air limpahan sungai dan sumber air mentah simpanan untuk kegunaan LRA ketika musim kemarau.

PAAB turut memberikan tumpuan khusus kepada pembangunan aset air di Kelantan dengan komitmen pelaburan sebanyak RM1.6 bilion. YBrs. Ir. Zulkiflee Omar memaklumkan bahawa beberapa projek LRA sedang dalam fasa akhir pembinaan, termasuk LRA Bukit Chupak yang berkapasiti 10 juta liter per hari yang dijangka siap Februari tahun ini serta LRA Chicha yang dijadualkan siap pada September nanti.

Selain itu, sebuah projek besar, iaitu LRA Machang dengan kos anggaran RM500 juta sedang dalam perancangan untuk menampung keperluan di utara Kelantan. Projek berskala besar ini dijangka menyelesaikan sebahagian besar isu bekalan dan kualiti air di kawasan tersebut apabila siap kelak.

Menyentuh mengenai masa hadapan sekuriti air, Dato’ Seri Ir. Jaseni Maidinsa menyarankan pemulihan semula air (water reclamation) untuk sektor industri sebagai langkah seterusnya selepas sumber air sungai mencapai had maksimum.

Beliau berkata,

Walaupun teknologi untuk menghasilkan air minuman daripada air kumbahan sudah wujud seperti NEWater di Singapura, fokus Malaysia buat masa ini adalah untuk kegunaan industri dahulu bagi mengatasi stigma masyarakat.

Melalui strategi serampang dua mata, iaitu dengan melaksanakan penyelesaian hutang legasi melalui pajakan aset dan pembangunan infrastruktur berteknologi hijau, PAAB optimis dapat memastikan kemampanan bekalan air negara yang efisien dan berdaya tahan untuk generasi akan datang.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi