Kuala Lumpur – Sambutan Hari Keselamatan Internet (HKI) 2026 yang perasmiannya disempurnakan oleh YB Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi pada 8 Februari lalu menjadi platform penting dalam memperkukuh perlindungan kanak-kanak, remaja dan institusi keluarga dalam ekosistem digital negara.
Sambutan HKI 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang berlangsung di Taman Tasik Titiwangsa itu menyatukan peranan kerajaan, industri, komuniti dan keluarga bagi membina masyarakat digital yang berdaya tahan serta berpengetahuan.
Menurut YB Datuk Fahmi Fadzil, HKI 2026 merupakan inisiatif global yang menekankan penggunaan Internet secara selamat, beretika dan bertanggungjawab, khususnya bagi melindungi golongan muda serta memperkukuh institusi keluarga.
Ujar beliau,
Pendekatan bersepadu yang melibatkan penguatkuasaan, pematuhan platform, pendidikan pengguna dan kesedaran awam amat penting bagi memastikan ekosistem digital negara diurus secara holistik.
Pelbagai aktiviti berteraskan pendidikan, pencegahan dan pelibatan masyarakat awam dianjurkan termasuklah pendedahan praktikal mengenai kawalan ibu bapa, perlindungan akaun digital serta langkah mengelakkan penipuan dalam talian.
Sambutan HKI 2026 turut dimeriahkan dengan reruai pameran interaktif, aktiviti pendidikan digital, e-sukan serta permainan berkonsepkan keselamatan siber yang berjaya menarik penyertaan merentas generasi.
Sementara itu, Kempen Internet Selamat 2026 turut dilancarkan sebagai kesinambungan inisiatif tahun lalu, dengan menyasarkan sejuta rakyat Malaysia diberikan latihan dan kemahiran keselamatan dalam talian.
HKI 2026 juga menandakan kemuncak usaha pembaharuan perundangan dan kawal selia yang sedang dilaksanakan, termasuklah penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 sejak 1 Januari 2026.
Turut hadir dalam majlis ini termasuklah YBhg. Datuk Abdul Halim Hamzah, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi; YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, Pengerusi MCMC; YBhg. Datuk Seri TPr. Fadlun Mak Ujud, Datuk Bandar Kuala Lumpur; rakan strategik serta pemain industri.