Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) telah membuat persediaan rapi bagi pelaksanaan Tahun Melawat Pelancongan Perubatan Malaysia 2026. Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Kangsar dalam Dewan Rakyat semalam sempena Mesyuarat Pertama, Penggal Kelima Parlimen Kelima Belas Tahun 2026.
Menurut beliau, antara persediaan utama yang dilaksanakan termasuklah pengukuhan kerjasama awam-swasta melibatkan pemain industri kesihatan dan pelancongan seperti ahli hospital swasta MHTC, Tourism Malaysia, lembaga pelancongan negeri, syarikat penerbangan serta agensi pelancongan dalam dan luar negara.
Selain itu, KKM turut memberikan penekanan terhadap peningkatan standard kualiti dan keselamatan perkhidmatan kesihatan melalui pematuhan berterusan terhadap piawaian antarabangsa, pengukuhan tadbir urus klinikal, pelaksanaan amalan terbaik keselamatan pesakit serta pemantauan kualiti secara berstruktur.
Dalam memperkasakan inisiatif Flagship Medical Tourism Hospital (FMTH), Island Hospital di Pulau Pinang telah dinobatkan sebagai pemenang utama. Hospital berkenaan turut menerima pengiktirafan Kecemerlangan dalam Pertumbuhan Hasil Pelancongan Penjagaan Kesihatan.
Pengiktirafan lain diberikan kepada Institut Jantung Negara bagi kategori Kecemerlangan Perubatan dan Keunggulan Teknologi Perubatan; Mahkota Medical Centre sebagai Peneraju Perkongsian Strategik Industri; Subang Jaya Medical Centre bagi Kecemerlangan Keunggulan Jenama serta Island Hospital bagi Inovasi Digital dalam Penyampaian Perkhidmatan Pesakit.
KKM dan MHTC juga memperluas promosi strategik ke pasaran sasaran melalui pendekatan pemasaran berfokus di pasaran serantau dan antarabangsa berpotensi tinggi, penyertaan dalam pameran serta misi promosi kesihatan, di samping penggunaan platform digital bagi memperkukuh penjenamaan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan perubatan.
Dalam aspek modal insan, kementerian mempergiat latihan berterusan, peningkatan kemahiran profesional kesihatan, pengkhususan dalam bidang perubatan bernilai tinggi serta pengukuhan kecekapan perkhidmatan sokongan bagi memastikan pertumbuhan sektor ini kekal mampan.
Sejajar dengan agenda nasional Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), pelaksanaan MYMT 2026 dijangka menyumbang kepada penjanaan pendapatan sektor kesihatan, pemindahan kepakaran dan teknologi, pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta pengurangan kebergantungan pada peruntukan awam.
Sektor pelancongan perubatan turut mewujudkan kesan pengganda kepada ekonomi negara, termasuk merangsang sektor pelancongan, perhotelan, pengangkutan dan perkhidmatan sokongan lain.
Menurut YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly, pertumbuhan sektor ini membolehkan fasiliti kesihatan swasta terus melabur untuk peningkatan kemudahan, peralatan berteknologi tinggi dan pembangunan kepakaran klinikal, sekali gus memberikan manfaat kepada pesakit antarabangsa dan rakyat tempatan.
Beliau menegaskan bahawa pendekatan ini memastikan pelancongan perubatan tidak menjejaskan keutamaan rawatan kepada rakyat tempatan, sebaliknya menjadi pemangkin kepada peningkatan kapasiti, kualiti dan daya tahan keseluruhan ekosistem penjagaan kesihatan negara.