Diterbitkan pada 25 Februari 2026, 08:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) menerusi kenyataan medianya semalam menyatakan bahawa Malaysia kekal bebas daripada penyakit Nipah setakat ini, namun sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga susulan laporan wabak membabitkan manusia di West Bengal, India baru-baru ini.

Menurut DVS, sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap kesihatan haiwan dan pencegahan penyakit zoonotik, pemantauan berterusan dilaksanakan dengan kerjasama agensi berkaitan bagi memastikan status bebas Nipah terus terpelihara.

DVS menjalankan pengawasan rapi populasi babi domestik dan babi hutan bagi pengesanan awal kewujudan virus tersebut. Pada tahun 2025, lebih 2000 sampel babi domestik dan 48 sampel babi hutan telah diuji dan kesemuanya menunjukkan keputusan negatif virus Nipah.

Selain itu, DVS turut mengawal import daging babi dari luar negara dengan hanya membenarkan kemasukan dari negara yang diiktiraf bebas Nipah.

Menurut jabatan itu, kelawar buah atau flying fox dikenal pasti sebagai perumah semula jadi virus Nipah, manakala ternakan babi bertindak sebagai perumah pengganda. Jangkitan dalam populasi babi boleh meningkatkan risiko penularan kepada manusia dan haiwan lain sekiranya langkah biosekuriti tidak dilaksanakan secara berkesan.

Sehubungan dengan itu, langkah kesiapsiagaan akan terus diperkukuh termasuklah pemantauan terhadap populasi kelawar buah sebagai vektor semula jadi virus berkenaan.

Antara tanda klinikal penyakit Nipah termasuklah gejala pernafasan seperti batuk, sesak nafas dan lelehan hidung; demam, kelesuan serta kurang selera makan; pergerakan tidak terkoordinasi, tremor dan sawan. Kadar jangkitan di ladang boleh menjadi tinggi walaupun kadar kematian rendah hingga sederhana.

DVS menyeru penternak babi supaya sentiasa berwaspada, khususnya ladang berhampiran dusun atau mempunyai pokok buah-buahan yang boleh menarik kehadiran kelawar. Penternak dinasihatkan memantau kehadiran kelawar, memastikan tahap biosekuriti ladang tinggi serta segera melaporkan sebarang tanda penyakit yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

Penyakit Nipah merupakan penyakit wajib lapor di Malaysia. Oleh itu, penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang syak jangkitan kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar berhampiran.

DVS memberikan jaminan bahawa status Malaysia sebagai negara bebas Nipah sentiasa dipantau melalui langkah pencegahan dan kesiapsiagaan berterusan. Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak panik, mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi