Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 12:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Penyelidik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menemukan potensi antibiotik semula jadi daripada buah engkabang (Shorea macrophylla) yang boleh membantu mengawal penyakit bakteria dalam industri ternakan ikan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik sintetik.

Kajian dijalankan oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Chung Hui Hung dari Program Bioteknologi Sumber, Fakulti Sains dan Teknologi Sumber, UNIMAS dengan menguji ekstrak buah engkabang terhadap bakteria Pseudomonas koreensis, Citrobacter freundii, Enterobacter hormaechei, Salmonella enterica dan Bacillus subtilis.

Dapatan kajian yang diperoleh menunjukkan zon perencatan ketara bagi Citrobacter freundii (ekstrak isopropanol dan heksana) dan Salmonella enterica (ekstrak isopropanol dan aseton), sekali gus membuktikan bahawa ekstrak buah engkabang mempunyai aktiviti antibakteria yang signifikan terhadap patogen akuatik.

Penemuan tersebut juga menonjolkan potensi buah engkabang sebagai sumber antibiotik semula jadi yang berdaya saing serta membuka peluang kepada penggunaannya sebagai antibiotik alternatif yang lebih selamat dan lestari dalam industri akuakultur, khususnya dalam usaha mengurangkan kebergantungan terhadap antibiotik sintetik.

Kajian ini telah diterbitkan dalam portal jurnal ScienceDirect dan artikel lengkap boleh diperoleh dalam portal berkenaan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi