Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTahukah anda bahawa Malaysia memiliki permatang kuarza yang terpanjang di dunia, iaitu Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) yang turut dikenali sebagai Klang Gates Quartz Ridge dalam kalangan pendaki. PKGS merupakan sebuah daik kuarza tulen atau benteng kuarza gergasi terpanjang di dunia yang menjadi khazanah semula jadi negara dan terletak di Taman Melawati, Selangor bersempadan dengan ibu kota Kuala Lumpur.
Dari segi sejarah, batuan kuarza berwarna putih ini terbentuk kira-kira 200 juta tahun yang lalu apabila lebihan magma yang kaya dengan silikon dioksida mengkristal dan membeku di dalam rekahan batu granit. Gabungan ciri fizikal seperti saiz yang besar, daik kuarza yang tinggi dan terdedah menjadikan PKGS sebagai khazanah semula jadi yang benar-benar unik sehingga penduduk tempatan menggelarnya sebagai “tulang belakang naga”.
Keunikan tersebut terserlah melalui bentuk bongkah batu yang bergerigi tajam serta menonjol di tengah kehijauan hutan tropika, selain berfungsi sebagai benteng semula jadi yang membentuk struktur takungan air bagi Empangan Klang Gates yang menjadi sumber air kepada jutaan penduduk di Lembah Klang, di samping menjadi tarikan pendaki melalui puncak ikonik seperti Bukit Batu Tabur, Bukit Batu Chondong dan Bukit Rata.
Kawasan ini pada asalnya dikenali sebagai Permatang Kuarza Genting Kelang sebelum dinamakan semula sebagai Permatang Kuarza Gombak Selangor pada 24 Jun 2015 oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai langkah strategik yang bukan sahaja mengetengahkan lokaliti geografinya, malah mencerminkan komitmen dalam memelihara warisan semula jadi termasuklah usaha mencalonkannya ke dalam Senarai Tentatif Tapak Warisan Dunia UNESCO serta pengiktirafannya sebagai sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark.
Selain keunikan fizikal, PKGS menjadi tumpuan himpunan spesies tumbuhan unik, termasuklah spesies endemik dan jarang-jarang ditemukan. Kawasan permatang kuarza merupakan habitat bagi empat spesies endemik, iaitu Aleisanthia rupestris (Rubiaceae), Codonoboea primulina (Gesneriaceae), Spermacoce pilulifera (Rubiaceae) dan Ilex praetermissa (Aquifoliaceae). Menurut kajian yang dilakukan oleh Dr. Ruth Kiew dan Lim Chung Lu dan diterbitkan pada tahun 2020, keempat-empat spesies tersebut dikelaskan dalam kategori Sangat Terancam.

Selain itu, terdapat dua spesies endemik lain yang dikategorikan sebagai Terancam di PKGS dan beberapa benteng kuarza kecil di sekitarnya, iaitu Eulalia milsumi (Gramineae) dan Sonerila prostrata (Melastomataceae). Ekosistem ini didominasi oleh tumbuhan seperti Baeckea frutescens (cucur atap) dan Rhodoleia championii (kerlik), manakala terdapat juga tumbuhan renek seperti Austroboxus nitidus (Euphorbiaceae) dan Vaccinium bancanum (Ericaceae). Permukaan batu kuarza di sini turut menjadi perumah bagi beberapa spesies tumbuhan menumpang seperti Fagraea auriculata (pelir musang), Ficus deltoidea var. angustifolia (mas cotek) dan Rhododendron longiflorum (Ericaceae).

Walau bagaimanapun, ekosistem PKGS berdepan dengan ancaman biologi dan antropogenik akibat aktiviti manusia, khususnya perubahan guna tanah dan urbanisasi berikutan kedudukannya yang strategik di pinggir Kuala Lumpur. Keadaan ini menyebabkan kawasan sekitarnya menjadi tumpuan pembangunan lebuh raya dan perumahan yang berpotensi menjejaskan keseimbangan ekosistem semula jadi.

Selain ancaman antropogenik, ekosistem permatang ini turut terdedah kepada ancaman biologi daripada spesies asing invasif yang agresif seperti Pennisetum polystachion (rumput ekor kucing) yang berupaya menyesuaikan diri dengan pelbagai jenis iklim dan tanah sehingga membolehkannya mendominasi ruang serta mencetuskan persaingan sengit dengan spesies asli bagi mendapatkan sumber asas seperti air, nutrien dan ruang pertumbuhan.
Di samping itu, pengumpulan biojisim daun kering dalam kuantiti yang tinggi berpotensi menjadi bahan bakar yang meningkatkan risiko kebakaran, khususnya semasa musim kemarau, sekali gus menyebabkan kemusnahan ekosistem, menjejaskan habitat flora dan fauna, mengganggu keseimbangan ekologi serta mempercepat proses degradasi tanah.
Ancaman biologi ini merupakan faktor kritikal yang memerlukan pemantauan rapi bagi menjamin kestabilan ekosistem, dengan kaedah pemantauan yang merangkumi pengesanan spesies asing invasif, penilaian kesihatan habitat dan kepelbagaian biodiversiti serta pemantauan tahap pengumpulan biojisim kering bagi meminimumkan risiko kebakaran.
Ekosistem permatang ini pernah menjadi fokus utama dalam perancangan infrastruktur nasional, khususnya melalui projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL). Peringkat awal pembinaan terowong merentasi kawasan tersebut telah menimbulkan kebimbangan awam berikutan aktiviti pengorekan yang berpotensi menjejaskan kestabilan struktur batuan kuarza, termasuklah risiko rekahan serta perubahan terhadap bentuk geomorfologi semula jadi. Selain itu, kerja pembinaan turut dikhuatiri meningkatkan kadar hakisan tanah dan menjejaskan habitat flora serta fauna di kawasan berkenaan. Oleh hal yang demikian, penilaian semula telah dilaksanakan bagi mengimbangi keperluan pembangunan infrastruktur dengan usaha pemuliharaan ekosistem. Hasilnya, cadangan jajaran landasan ECRL telah dialihkan kepada laluan yang lebih mesra alam bagi melindungi biodiversiti dan geologi kawasan tersebut, sekali gus memberikan manfaat kepada penduduk setempat melalui penyediaan kemudahan pengangkutan awam yang lebih efisien.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) komited sepenuhnya dalam usaha melindungi ekosistem negara, termasuklah ekosistem kuarza yang bernilai tinggi ini melalui penggubalan Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan (DKBK) 2022–2030. Di bawah Matlamat 3, Sasaran 8 dan 9 secara khusus menggariskan keperluan untuk melindungi ekosistem semula jadi yang terancam. Untuk memastikan pengurusan ekosistem dan habitat dilaksanakan dengan sistematik, pelbagai kajian berkaitan dengan ekosistem serta spesies flora dan fauna giat dijalankan, termasuklah kajian kolaboratif antara NRES dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) bagi menilai risiko keterancaman ekosistem kuarza. Hasil kajian saintifik ini seterusnya dapat dimanfaatkan dalam perancangan strategik untuk melindungi ekosistem kuarza daripada pelbagai ancaman, sama ada berpunca daripada aktiviti antropogenik ataupun faktor semula jadi.
Secara keseluruhannya, PKGS merupakan khazanah geologi dan biodiversiti yang unik serta bernilai tinggi, dengan keistimewaannya terserlah melalui formasi permatang kuarza sepanjang 14 kilometer yang diiktiraf sebagai yang terpanjang di dunia serta memiliki ciri semula jadi yang luar biasa. Selain berfungsi sebagai kawasan tadahan air, PKGS juga menjadi habitat kepada pelbagai biodiversiti unik, termasuklah spesies endemik yang hanya terdapat di kawasan tersebut. Sehubungan dengan itu, usaha pemuliharaan secara sistematik perlu diteruskan bagi memastikan kelangsungan permatang kuarza, habitat semula jadi dan kepelbagaian biodiversiti di kawasan ini terus terpelihara. Dengan pelaksanaan strategi yang berkesan dan tersusun, PKGS berpotensi diiktiraf sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO secara rasmi, sekali gus menjamin kelestarian ekosistem ini dalam jangka masa panjang daripada tekanan pembangunan yang semakin meningkat.