Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Isu sisa elektrik dan elektronik (e-sisa) isi rumah kini dilihat sebagai “ancaman senyap” yang semakin membimbangkan sekiranya tidak diuruskan dengan betul, sepakat kedua-dua panel bagi program audio siar Jabatan Alam Sekitar (JAS) bersempena dengan sambutan Hari Penguat Kuasa Jabatan Alam Sekitar 2026 yang disiarkan secara langsung menerusi laman rasmi jabatan tersebut pagi tadi.
Audio siar bertajuk “E-Sisa: Ancaman Senyap di Rumah” itu menampilkan moderator YBrs. Dr. Ezahtulsyahreen Ab Rahman bersama dengan dua panel jemputan dari Bahagian Bahan Berbahaya JAS, iaitu Puan Thahirah Kamarulzaman dan Puan Nur Syuhaida Mohd Shamsudin.
Dalam sesi tersebut, Puan Thahirah menjelaskan bahawa e-sisa isi rumah merujuk peralatan elektrik dan elektronik yang digunakan khusus di dalam rumah seperti telefon bimbit, komputer, televisyen, penyaman udara, peti sejuk dan mesin basuh yang telah rosak, tamat tempoh hayat atau tidak lagi digunakan.
Menurut beliau, walaupun pengurusan e-sisa bagi sektor industri telah mempunyai peraturan yang jelas, namun bagi e-sisa isi rumah, pihak JAS kini sedang membangunkan mekanisme serta draf peraturan khusus bagi memastikan pengurusannya lebih sistematik dan berkesan.
Katanya,
Buat masa ini, kita memberikan fokus kepada enam item utama yang sering digunakan di rumah, termasuklah peralatan kecil seperti telefon bimbit dan komputer serta peralatan bersaiz besar seperti peti sejuk dan mesin basuh.
Sementara itu, Puan Nur Syuhaida memaklumkan bahawa berdasarkan rekod inventori JAS, telefon bimbit dan komputer merupakan antara item e-sisa yang paling banyak dilupuskan oleh orang ramai.
Jelasnya,
Perubahan teknologi yang pesat, termasuk kemunculan peranti berasaskan kecerdasan buatan mendorong pengguna menukar peranti lama walaupun masih berfungsi. Fenomena ini menyumbang kepada peningkatan jumlah e-sisa.
Mengulas mengenai amalan membuang e-sisa bersama-sama sampah domestik, Puan Thahirah menegaskan tindakan itu boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan manusia dan alam sekitar.
Katanya, peralatan elektronik mengandungi bahan toksik dan logam berat seperti kadmium dan nikel boleh mencemarkan tanah dan sumber air jika dilupuskan secara tidak terkawal.
Tambahnya,
Apabila e-sisa dibuang merata-rata, bahan berbahaya yang terkandung di dalamnya boleh meresap ke dalam tanah dan seterusnya mencemari air bawah tanah, sungai dan laut. Perkara ini bukan sahaja memberikan kesan kepada alam sekitar, tetapi juga kesihatan manusia.
Namun begitu, beliau menambah bahawa e-sisa juga mempunyai potensi ekonomi kerana mengandungi bahan berharga seperti kuprum dan logam lain yang boleh dikitar semula.
Ujarnya,
Daripada melombong sumber baharu, lebih baik bahan sedia ada dalam e-sisa itu dimanfaatkan sebagai cara untuk mengurangkan pencemaran sambil menjana ekonomi.
Pada masa yang sama, Puan Nur Syuhaida menjelaskan bahawa JAS telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai, termasuk program Hari Pengumpulan E-Sisa yang diadakan pada setiap bulan di pelbagai lokasi seperti sekolah, universiti dan masjid.
Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat mengenai pusat pengumpulan e-sisa berdaftar melalui laman web rasmi JAS, ewaste.doe.gov.my.
Katanya,
Laman web ini memudahkan orang ramai mencari lokasi pusat pengumpulan berhampiran mereka. Terdapat juga pusat pengumpulan e-sisa yang menawarkan ganjaran kewangan bagi setiap barangan yang dihantar.
Menurut beliau, pendekatan ini berjaya meningkatkan penyertaan masyarakat, malah ada program pengumpulan yang mencatat jumlah kutipan mencecah jutaan kilogram setiap tahun.
Sementara itu, Puan Thahirah turut memperkenalkan konsep Extended Producer Responsibility (EPR) sebagai antara mekanisme yang sedang dipertimbangkan dalam pengurusan e-sisa di Malaysia.
Konsep tersebut menekankan tanggungjawab bersama semua pihak dalam rantaian produk, termasuk pengeluar, pengguna dan pengendali sisa, bagi memastikan pelupusan dilakukan secara lestari.
“Melalui EPR, tanggungjawab tidak terhenti pada pengguna sahaja, tetapi turut melibatkan pengeluar dalam memastikan produk mereka diuruskan dengan baik hingga ke peringkat pelupusan,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa garis panduan sedang dibangunkan, meliputi aspek pengumpulan, kitar semula, bayaran dan pelaporan bagi memperkukuh sistem pengurusan e-sisa negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Puan Nur Syuhaida berkata sambutan Hari E-Sisa Sedunia yang diraikan setiap 14 Oktober turut menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu ini.
Katanya, penerimaan orang ramai terhadap inisiatif berkaitan dengan e-sisa semakin memberangsangkan apabila mereka mula melihat sisa tersebut bukan sekadar sampah, tetapi juga sebagai sumber pendapatan.
Mengakhiri sesi audio siar, kedua-dua panel menyeru masyarakat agar memainkan peranan aktif dalam menguruskan e-sisa secara bertanggungjawab.
“Kesedaran perlu bermula dari rumah. Jangan buang e-sisa ke dalam tong sampah biasa, sebaliknya hantar ke pusat pengumpulan yang betul,” kata Puan Thahirah.
Puan Nur Syuhaida pula mengingatkan orang ramai agar memanfaatkan kemudahan yang disediakan serta mendapatkan maklumat lanjut melalui platform rasmi JAS.