Diterbitkan pada 10 April 2026, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menggalakkan rakyat Malaysia untuk mula beralih kepada skim Time of Use (ToU) menerusi kenyataan kementerian hari ini.

Skim ini diperkenalkan sebagai langkah praktikal dalam mengurus kos sara hidup melalui penjimatan bil elektrik yang lebih efektif, di samping menyokong agenda kecekapan tenaga negara.

Menurut PETRA, dalam keadaan ketidaktentuan harga tenaga global, pendekatan penggunaan tenaga secara bijak menjadi sangat penting.

Melalui skim baharu ini, pengguna berpeluang menikmati kadar tarif yang jauh lebih rendah sekiranya menggunakan elektrik pada waktu luar puncak berbanding dengan waktu puncak.

“Waktu puncak bagi hari bekerja bermula dari jam 2.00 petang sehingga 10.00 malam yang mencatatkan permintaan elektrik paling tinggi dan dikenakan kadar tarif lebih mahal. Sebaliknya, waktu luar puncak merangkumi waktu malam membawa ke pagi, hujung minggu serta cuti umum menawarkan kadar lebih murah bagi memberikan insentif kepada rakyat untuk merancang penggunaan tenaga mereka,” menurut PETRA dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Data terkini sehingga Februari 2026 menunjukkan sebanyak 128 868 orang pengguna telah pun beralih kepada skim ToU. Angka ini mencerminkan peningkatan kesedaran rakyat terhadap kepentingan pengurusan tenaga yang bijak.

Pengguna sangat digalakkan untuk mengubah suai rutin harian dengan mengalihkan aktiviti yang menggunakan banyak tenaga seperti membasuh baju, penggunaan penyaman udara, pemanas air dan pengecasan kenderaan elektrik ke waktu luar puncak bagi memaksimumkan penjimatan tenaga.

Selain itu, langkah ini juga dilihat selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat dan kelestarian sumber melalui tadbir urus yang cekap.

Dengan mengurangkan beban permintaan semasa waktu puncak, kerajaan bukan sahaja membantu rakyat mengurangkan perbelanjaan bulanan, malah memastikan pembangunan negara menjadi lebih seimbang dan mampan untuk generasi akan datang.

“Orang ramai yang berminat kini disarankan untuk mempertimbangkan pertukaran kepada skim ToU demi gaya hidup yang lebih bijak tenaga,” tegas PETRA lagi.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi