Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menganjurkan bengkel “Fundamentals of Data Interpretation in Structural Analysis: X-ray Diffraction” yang memberikan pendedahan komprehensif kepada 30 orang peserta mengenai teknik penting analisis struktur bahan.
Bengkel yang berlangsung di Bilik Inovasi, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Perlis itu menampilkan perkongsian ilmu oleh YBrs. Profesor Dr. Ahmad Azmin Mohamad dan YBrs. Ir. Ts. Dr. Muhamed Abdul Fatah Muhamed Mukhtar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, USM.
Program tersebut bertujuan untuk memperkukuh kefahaman para peserta terhadap kaedah pembelauan sinar-X (XRD) yang digunakan secara meluas dalam penyelidikan struktur bahan.
Dalam sesi tersebut, YBrs. Profesor Dr. Ahmad Azmin Mohamad menjelaskan bahawa mesin XRD atau difraktometer terdiri daripada beberapa komponen utama seperti penjana sinar-X, goniometer untuk kedudukan sampel, alat pengesan dan sistem komputer yang menghasilkan corak difraksi.

Beliau turut menekankan bahawa difraktogram yang terhasil adalah seperti “cap jari” unik bagi setiap bahan, sekali gus membolehkan pengenalpastian struktur kristal dilakukan dengan tepat.

Menurut beliau, antara kelebihan utama analisis XRD termasuklah keupayaannya membezakan jenis sebatian kimia, berbanding dengan teknik X-ray Fluorescence (XRF) yang hanya mengenal pasti unsur dalam bahan.
Kaedah ini tidak merosakkan sampel, tetapi hanya memerlukan kuantiti kecil dan boleh digunakan pada pelbagai bentuk sampel seperti serbuk, blok, plat, gentian dan wayar.
Namun begitu, beliau menjelaskan bahawa XRD mempunyai kekangan tertentu kerana hanya sesuai untuk bahan berkristal dan tidak boleh digunakan untuk bahan amorfus seperti cecair atau gas.
Corak difraksi yang terhasil juga mencerminkan keadaan gabungan kimia dalam sampel, sekali gus menjadikan penyediaan sampel sebagai faktor kritikal dalam mendapatkan data berkualiti tinggi.
Katanya,
Tiga syarat utama perlu dipenuhi, iaitu orientasi kristalit rawak sepenuhnya, bilangan kristalit mencukupi dan keamatan difraksi yang memadai bagi memastikan ketepatan statistik.
Beliau turut menyatakan bahawa XRD mempunyai penggunaan yang luas merangkumi bidang fizik, kimia, geologi, mineralogi, arkeologi, genetik, metalografi, perubatan dan biologi.

Topik lain yang turut dibincangkan dalam sesi perkongsian tersebut termasuklah pembelauan serbuk, pembelauan polimer, tegasan baki, korelasi antara XRD dan HRTEM serta penambahbaikan Rietveld.
Sementara itu, seorang daripada peserta yang juga pensyarah kanan unit fizik, YBrs. Dr. Khuzaimah Nazir menyifatkan bengkel tersebut sebagai sangat bermanfaat dalam memperkasakan penyelidikan beliau.

Ujarnya,
Ilmu yang diperoleh membuka peluang untuk saya menggunakan teknik ini dengan lebih signifikan, sekali gus menghasilkan kajian yang lebih berimpak.
Secara keseluruhannya, program tersebut telah berjaya memperkukuh kefahaman para peserta terhadap teknik analisis bahan yang penting serta relevan dalam pelbagai bidang penyelidikan moden.