Diterbitkan pada 12 April 2026, 17:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Pendekatan paksi usus–otak muncul sebagai harapan baharu dalam rawatan penyakit Alzheimer apabila penyelidikan terkini menunjukkan hubungan signifikan antara kesihatan usus dengan fungsi otak, sekali gus membuka ruang kepada pendekatan rawatan yang lebih holistik dan menyasarkan punca penyakit.

Pensyarah Unit Biologi, Fakulti Sains Gunaan yang juga penyelaras Projek Tahun Akhir, Encik Muhammad Syukri Noor Azman berkata, penerokaan bidang ini didorong oleh keterbatasan rawatan sedia ada yang hanya merawat gejala tanpa menangani punca sebenar Alzheimer.

Encik Muhammad Syukri Noor Azman menjalankan kajian terhadap penyakit Alzheimer.

Beliau menjelaskan bahawa penemuan ketidakseimbangan mikrobiota usus dalam kalangan pesakit Alzheimer dilihat sebagai “pintu masuk” penting untuk membangunkan rawatan yang lebih semula jadi dan menyeluruh.

Menurutnya, mikrobiota usus merupakan ekosistem kompleks yang terdiri daripada trilion mikroorganisma yang bukan sahaja membantu proses penghadaman, malah berfungsi seperti “organ” yang berkomunikasi secara langsung dengan otak.

Penyediaan sampel otak tikus dilakukan dengan teliti bagi menyokong kajian Alzheimer berasaskan pendekatan paksi usus–otak.

Ujarnya,

Mikrobiota menghasilkan neurotransmiter seperti serotonin dan GABA yang penting dalam mengawal emosi serta fungsi kognitif dan keradangan pada usus boleh menghantar isyarat negatif ke otak melalui saraf vagus sehingga menyumbang kepada kemerosotan saraf.

Dalam penyelidikan tersebut, penggunaan probiotik khusus seperti strain Lactobacillus plantarum LAB12 menunjukkan potensi besar dalam memperlahankan perkembangan Alzheimer.

Probiotik berkenaan bertindak sebagai “tentera bantuan” dengan mengurangkan keradangan, meningkatkan penghasilan bahan kimia otak serta melindungi sel saraf daripada kerosakan.

Beliau berkata, pemberian probiotik LAB12 secara konsisten didapati mampu mengurangkan keradangan saraf yang dicetuskan oleh LPS, selain menunjukkan perubahan positif pada ekspresi gen dan tahap neuropeptida yang menyokong kelangsungan hidup sel saraf.

Tambah beliau, pendekatan paksi usus–otak semakin mendapat perhatian, selari dengan perubahan paradigma dalam bidang perubatan yang kini menekankan pendekatan holistik berbanding dengan rawatan spesifik terhadap satu organ sahaja.

Jelasnya,

Bidang baharu seperti psikobiotik membuka peluang untuk menggunakan bakteria baik dalam meningkatkan kesihatan mental dan fungsi otak.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui bahawa penyelidikan bagi penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer berdepan dengan cabaran termasuklah kompleksiti sistem biologi, kos kajian yang tinggi serta tempoh yang panjang bagi menilai kesan jangka masa panjang.

Beliau juga menasihati para pelajar dan penyelidik muda agar berani meneroka bidang interdisiplinari yang menggabungkan mikrobiologi, imunologi dan neurosains.

Katanya,

Masa hadapan sains terletak pada gabungan pelbagai bidang dan soalan yang kelihatan “pelik” sering menjadi pencetus kepada sesuatu penemuan yang besar.

Pemerhatian tisu otak model Alzheimer memfokuskan pembentukan plak amiloid–beta sebagai penanda utama penyakit.

Penyelidikan ini bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam rawatan penyakit neurodegeneratif, malah memberikan harapan terhadap pembangunan pendekatan yang lebih selamat, semula jadi dan berkesan demi kesejahteraan manusia sejagat.

Kredit Foto: Muhammad Syukri Noor Azman
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi