Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Bengkel bertajuk “Analysis of EIS: Distribution Relaxation Time (DRT)” yang disampaikan oleh Puan Suhaida Dila Safian berjaya menghimpunkan para penyelidik, pensyarah serta pelajar prasiswazah dan pascasiswazah pelbagai bidang dan institusi dalam satu sesi perkongsian ilmiah yang padat dan berimpak tinggi di Bilik Inovasi, Bahagian Penyelidikan dan Jaringan Industri, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis.
Puan Suhaida Dila Safian, Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Gunaan, Universiti UiTM Cawangan Perlis, dalam ceramahnya menekankan bahawa kaedah DRT merupakan satu pendekatan analisis yang berkuasa dalam mentafsir data Electrochemical Impedance Spectroscopy (EIS).
Menurut beliau, DRT berupaya memberikan visualisasi yang jelas terhadap pemalar masa melalui kewujudan puncak yang mewakili proses fizikokimia berbeza seperti pemisahan ion dan pengangkutan cas.
Jelasnya,
DRT membolehkan kita memisahkan proses ini dengan lebih terperinci, sekali gus membantu dalam analisis lanjutan terhadap sistem elektrokimia.
Tambah beliau lagi, setiap puncak dalam graf DRT mencerminkan proses jenis RC tertentu, dengan keluasan puncak berkait rapat dengan rintangan proses tersebut.

Para peserta turut didedahkan kepada hubungan antara DRT dengan Equivalent Circuit Model (ECM), di samping memahami jenis algoritma yang digunakan seperti Tikhonov regularization, Bayesian DRT dan ridge regression.
Perbincangan turut menyentuh cabaran utama dalam analisis DRT, termasuk isu ill-posed inverse problem yang boleh menghasilkan pelbagai penyelesaian daripada set data yang sama.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan untuk sentiasa berhati-hati dalam mentafsir data, khususnya dalam membezakan antara puncak sebenar dengan puncak palsu.
Beliau menjelaskan bahawa pemilihan parameter regularisasi dan kaedah pelicinan yang tepat amat penting bagi memastikan ketepatan dapatan analisis.
Tambahnya,
DRT tidak memberikan parameter fizikal secara langsung seperti rintangan atau kapasitans, sebaliknya DRT menyediakan taburan masa relaksasi dan intensiti proses. Oleh itu, tafsiran fizikal perlu disokong oleh rujukan literatur serta teknik pencirian lain seperti XPS dan SEM.
Bengkel ini turut disusuli dengan sesi amali penggunaan perisian DRTtools dan MATLAB, yang memberikan peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan secara langsung konsep yang dipelajari dalam menganalisis data EIS.
Sesi interaktif ini membantu meningkatkan kefahaman peserta terhadap simulasi data serta teknik pemprosesan maklumat DRT secara praktikal.
Penganjuran bengkel ini selari dengan usaha untuk memperkukuh keupayaan penyelidikan dalam bidang fizik keadaan pepejal dan bahan seramik berfungsi, khususnya dalam pembangunan sistem tenaga elektrokimia.
Secara keseluruhannya, program ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman terhadap analisis EIS melalui DRT, malah membuka ruang kepada penyelidik untuk meneroka pendekatan analitik yang lebih mendalam dalam memahami tingkah laku sistem elektrokimia secara komprehensif.