Diterbitkan pada 23 April 2026, 16:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kajang Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang (SMAPK) telah terpilih menerima 20 bahan tanaman limau bali varieti melomas dan 20 bahan tanaman belimbing bintang mas hasil penyelidikan dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menerusi Projek Perintis MARDI di bawah dana Pembangunan Rancangan Malaysia Ke-13 Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

Tanaman berkenaan diserahkan oleh Pegawai Penyelidik MARDI, Encik Mohd Zubir Md Idris kepada Pengetua SMAPK, Encik Abd Rashid Zainal bagi tujuan penanaman di kawasan sekolah tersebut.

Sesi penanaman bahan tanaman bersama-sama pihak MARDI dan SMAPK.

Penyerahan tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif Projek Perintis MARDI bagi memperluas penggunaan bahan tanaman berteknologi tinggi hasil penyelidikan tempatan kepada golongan sasar, termasuklah institusi pendidikan, petani dan usahawan, sekali gus menjadi asas kepada pelaksanaan program yang seterusnya pada peringkat sekolah sebagai sokongan kepada pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berasaskan pertanian.

Pengetua SMAPK menzahirkan penghargaan kepada pihak MARDI atas sokongan tersebut yang bukan sahaja menghijaukan kawasan sekolah, malah memberikan pendedahan kepada pelajar terhadap varieti tanaman hasil penyelidikan tempatan serta berharap lebih banyak produk MARDI dapat disalurkan ke sekolah di seluruh negara.

Limau bali varieti melomas (P056) yang berasal dari Johor dan didaftarkan pada tahun 2002 dipilih untuk dikomersialkan, manakala belimbing bintang mas ialah klon hibrid inovatif MARDI yang dibangunkan pada tahun 2019 dengan ciri buahnya yang manis, tidak kelat, rangup, berwarna kuning keemasan serta berbentuk lonjong dengan sayap tebal dan tempoh matang lebih singkat, iaitu 68 hari hingga 72 hari, selain mempunyai nilai eksport yang tinggi kerana kualiti dan penerimaan pasaran.

Murid SMAPK tekun mendengar penerangan berkaitan dengan variati klon melomas dan bintang mas MARDI.

Sebagai sekolah berprestasi tinggi di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia, SMAPK menjadi institusi pertama pada tahun ini yang menerima sebaran teknologi pertanian ini bagi menyokong pembelajaran STEM.

Puan Nurul Firdaus Mohamed Salleh selaku Guru Penyelaras STEM bertindak sebagai penyelaras projek perintis berkenaan dengan mendapat sokongan daripada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Encik Kosim Abd Ghani serta pelibatan aktif murid sekolah ini dalam aktiviti penanaman di kawasan lapang sekolah yang turut menyokong kempen hijau dan kelestarian alam sekitar.

Program ini merupakan kesinambungan kepada penyerahan 20 set akuaponik urban kit pada tahun 2025 melalui kerjasama Universiti Malaya dan Persatuan Alam Sekitar Sejahtera Malaysia yang bertujuan untuk memperkukuh kefahaman pelajar terhadap penggunaan sains dan teknologi dalam kehidupan seharian.

Dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun akan datang, pokok yang ditanam dijangkakan berbuah dan memberikan peluang kepada warga sekolah untuk menikmati hasilnya, di samping menjadi medium pembelajaran praktikal, sekali gus menyokong Dasar Agro Makanan Negara yang mengutamakan buah belimbing sebagai komoditi bernilai tinggi dengan eksport mencecah RM28 juta setahun dalam sedekad lalu.

Sesi penerangan tatacara penanaman bahan tanaman oleh pegawai MARDI kepada murid SMAPK.

Secara keseluruhannya, bahan tanaman keluaran MARDI mempunyai nilai tambah yang tinggi kerana dihasilkan melalui teknologi penyelidikan saintis tempatan dan memenuhi piawaian kerajaan, selain berpotensi menjadi sumber ekonomi masa hadapan serta memperkasakan pelaksanaan pembelajaran STEM di sekolah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi