Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Yang Amat Berhormat (YAB) Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen Malaysia untuk mengangkat darjat negara sebagai peneraju dalam era kecerdasan buatan (AI) melalui pelancaran Huawei AI Lab and Innovation Centre di The Exchange 106, semalam.
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pusat inovasi ini bukan sekadar lambang kemajuan teknologi, malah merupakan kesungguhan Malaysia untuk beralih daripada sekadar pengguna kepada pencipta dan penentu arah teknologi masa hadapan.
Dalam hantaran melalui laman Facebook beliau, Perdana Menteri menekankan bahawa Malaysia perlu bangkit untuk membina kekuatan sendiri serta memanfaatkan bakat anak tempatan secara penuh.

Ujarnya,
Dalam keghairahan mengejar kecanggihan AI, aspek nilai dan kemanusiaan tidak boleh diabaikan. Prinsip keadilan, ihsan dan keseimbangan sosial perlu menjadi teras utama agar pembangunan teknologi ini tidak melebarkan jurang sosial, sebaliknya memberikan manfaat yang menyeluruh kepada rakyat.
Seiring dengan visi Kerajaan MADANI, transformasi digital ini akan dilaksanakan secara inklusif dengan tumpuan untuk merapatkan jurang antara bandar dengan desa. Kerajaan bertekad memastikan setiap lapisan masyarakat merasai manfaat kemajuan ini secara adil, di samping membuka ruang seluas-luasnya bagi bakat tempatan untuk berkembang pada peringkat global.
Walaupun Malaysia kekal terbuka kepada kerjasama antarabangsa, Perdana Menteri menegaskan bahawa setiap langkah pembangunan mestilah dipacu mengikut acuan nilai tempatan demi kedaulatan negara.
Turut hadir mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Fahmi Fadzil, yang senada dalam memperkasakan ekosistem AI negara agar mampu bersaing pada peringkat antarabangsa.
Langkah ini bagi memastikan transformasi digital negara bukan sahaja maju, malah kekal selamat dan dipercayai untuk semua pengguna.