Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum Industri Hijau Malaysia–China 2026 yang berlangsung di TRX Exchange 106 memperlihatkan komitmen jitu kedua-dua buah negara dalam memperkukuh agenda kelestarian hijau.
Dalam forum tersebut, Malaysia menekankan kepentingan peralihan tenaga yang dipacu oleh Pelan Peralihan Tenaga Nasional (NETR) serta Dasar Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030). Selain itu, kedudukan China dikenali sebagai peneraju global dalam sektor tenaga boleh diperbaharui, kenderaan tenaga baharu (NEV), serta teknologi bateri termaju.
Malaysia menegaskan bahawa kerjasama hijau tidak hanya berasaskan pelaburan, malah mengutamakan pembangunan kapasiti insan melalui diplomasi pendidikan.
Antara langkah strategik yang dikenal pasti termasuklah pertukaran aktif pelajar, penyelidik, pensyarah dalam bidang teknologi hijau dan penubuhan hab inovasi bersama di seluruh universiti tempatan bagi memperkukuh penyelidikan dan pembangunan (R&D).
Selain itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menunjukkan data perdagangan dua hala mencecah RM484 bilion pada tahun 2024. Laporan Bank Dunia turut mendedahkan pelaburan luar negara China dalam teknologi hijau telah melangkaui USD 220 bilion sejak 2022.
Organization for Economic Co-operation and Development (OECD) pula menekankan pentingnya penyelarasan piawaian ESG dalam kerjasama antarabangsa bagi memastikan kerjasama ini memenuhi standard antarabangsa.
Walaupun berpotensi besar, forum tersebut turut menggariskan beberapa cabaran utama, antaranya risiko Malaysia sekadar menjadi pasaran pengguna tanpa pemindahan teknologi yang bermakna; kos adaptasi teknologi hijau yang tinggi bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan keperluan mendesak untuk mematuhi piawaian ESG global yang semakin ketat.
Bagi memastikan kelestarian kerjasama ini, beberapa cadangan telah diketengahkan termasuklah penubuhan Pusat Kecemerlangan Hijau Malaysia–China, program TVET Hijau Bersama, serta pembangunan Dashboard KPI Hijau untuk memantau keberkesanan projek secara nyata.