Diterbitkan pada 4 Mei 2026, 14:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Penekanan terhadap penguasaan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM), penerokaan inovasi serta pembentukan kepimpinan pelajar berintegriti menjadi teras titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyempurnakan Program Titian Kasih Mega peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abi.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan Program Titian Kasih Mega dengan menekankan kepentingan STEM, inovasi dan kepimpinan pelajar serta memperkasakan pembangunan bakat dan sahsiah pelajar.

Baginda menegaskan bahawa pendekatan pembelajaran moden seperti kelas hibrid dan teacher-based school perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi memperkaya ilmu, merangsang kreativiti serta membina pemikiran inovatif yang relevan dengan cabaran semasa.

Para pelajar juga digesa untuk menggunakan platform “Student Voice” secara matang dan berhemah sebagai saluran menyuarakan pandangan serta meningkatkan pelibatan dalam pembangunan sekolah, di samping membentuk kepimpinan berani, kritis dan berintegriti tinggi.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, DYTM Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan keberangkatan baginda berdua disambut oleh Pengetua SMK Abi, Encik Ehsan Sabry Yahaya.

Program anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Perlis itu melibatkan sebanyak 518 orang pelajar tingkatan satu hingga tingkatan tiga yang terdiri daripada 291 orang pelajar lelaki dan 227 orang pelajar perempuan.

DYTM Raja Muda Perlis menyeru pelajar agar menjadikan kecemerlangan SMK Abi, khususnya dalam bidang ragbi sebagai inspirasi dengan menekankan bahawa semangat juang, disiplin yang tinggi dan ketahanan mental pasukan “Warrior Abi Perlis” wajar dicontohi dalam pembentukan jati diri.

Menurut baginda,

Sukan bukan sekadar aktiviti fizikal, tetapi medan penting untuk membina kekuatan dalaman serta keberanian dalam menghadapi cabaran kehidupan.

Program Titian Kasih Mega juga diharapkan menjadi pemangkin kepada peningkatan akademik, pembentukan sahsiah unggul dan pengukuhan motivasi pelajar.

Sementara itu, Encik Ehsan Sabry Yahaya dalam ucapannya turut memaklumkan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2025 SMK Abi menunjukkan peningkatan apabila Gred Purata Sekolah (GPS) bertambah baik daripada 5.46 pada tahun 2024 kepada 5.26 pada tahun 2025.

Ujarnya,

Peratus kelayakan sijil meningkat kepada 92.36 peratus berbanding dengan 90.85 peratus pada tahun sebelumnya, manakala peratus pelajar lulus semua mata pelajaran meningkat daripada 53.52 peratus kepada 60.42 peratus, sekali gus mencerminkan komitmen yang tinggi diberikan oleh warga sekolah.

Dalam kokurikulum, SMK Abi terus menyerlah apabila pasukan ragbi “Warrior Abi Perlis” mencipta kejayaan pada peringkat antarabangsa, selain terlibat dalam program National Rugby Development Program Women Tackle Rugby dan Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan.

Kecemerlangan sekolah ini turut terserlah melalui kejayaan johan hafazan peringkat negeri, Anugerah Duta 2025 Kategori Airobotik, penyertaan JOTA-JOTI Pengakap Kebangsaan serta kenaikan pangkat Pegawai Waran KASPA peringkat kebangsaan.

Para pelajar juga aktif dalam pembangunan sahsiah melalui program seperti Swipe Right on Self Worth CyberSafety Edition serta pertandingan pertolongan cemas dan perawatan pada peringkat kebangsaan.

Dalam program yang sama, DYTM Raja Muda Perlis dan DYTM Raja Puan Muda Perlis turut berkenan menyempurnakan “ACS Music Studio”, iaitu fasiliti khas pembelajaran muzik dan latihan persembahan yang memperkukuh pembangunan bakat seni pelajar SMK Abi.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Pendidikan (Pembangunan Murid) Negeri Perlis, Haji Che Rasaidi Che Yob; Setiausaha Kehormat Yayasan Tuanku Syed Putra Perlis, YBhg. Datuk Johari Mohd Darus serta Ketua Penyelaras Program Titian Kasih Mega, Mejar Muhamad Azuan Mohd Nasir.

Kredit Foto: Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi