Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBatu Pahat – Program Operasi Khidmat Masyarakat Optometri (OPKOM) Ke-33 anjuran Persatuan Mahasiswa Optometri, Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Kelab Falsafah sebagai Pedoman dan ADUN Senggarang sekali lagi telah melakar sejarah dengan menawarkan pemeriksaan mata komprehensif kepada seramai 418 orang penduduk Senggarang, Batu Pahat, Johor.
Program yang berlangsung dari 1 hingga 3 Mei lalu ini dimulakan dengan majlis penyerahan keluarga angkat yang sarat dengan nilai tradisi yang diserikan dengan penyampaian sirih junjung daripada pihak Optometri UKM kepada wakil keluarga, serta upacara simbolik keluarga angkat, iaitu menyuapkan garam kepada mahasiswa sebagai perlambangan pemindahan pengalaman dan “asam garam” kehidupan.

Agenda pada hari kedua diteruskan dengan saringan penglihatan komprehensif oleh pasukan mahasiswa, penyelia UKM dan optometris setempat yang merangkumi penilaian ralat refraksi (kuasa mata) serta saringan anterior dan posterior mata di Dewan Serbaguna Senggarang.
Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan, Klinik Optometri Bergerak (KOB) yang dilengkapi dengan peralatan khas telah digunakan untuk memastikan pemeriksaan yang lebih terperinci dapat dijalankan. Selain itu, penduduk yang layak turut menerima kaca mata secara percuma hasil sumbangan Universiti Konan, Maxvue Vision Sdn. Bhd. serta sokongan daripada Pejabat ADUN Senggarang dan pelbagai pihak.


Pada hari terakhir, perkhidmatan pemeriksaan mata diperluas bagi menyantuni penduduk Kampung Orang Asli (KOA) Sri Pantai. Tirai program OPKOM ke-33 dilabuhkan secara rasmi menerusi Majlis Penutup yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, YB Tuan Haji Mohd Yusla Ismail.
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada warga Optometri UKM, khususnya Penasihat Program, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Izzuddin Hairol; Penasihat Bersama, Cik Norlaili Arif dan Penyelaras KOB, YBrs. Profesor Dr. Haliza Abd Mutalib atas kejayaan program tersebut.
Lebih membanggakan, inisiatif ini mencatatkan antara jumlah penyertaan tertinggi dalam sejarah penganjuran OPKOM, melibatkan 298 peserta di Dewan Serbaguna Senggarang dan 120 peserta di KOA Sri Pantai.
Majlis diakhiri dengan upacara penyerahan semula anak angkat kepada wakil UKM serta penyampaian cenderamata kepada YB ADUN Senggarang dan Tok Batin KOA Sri Pantai.