Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangsar – “Penyelidikan klinikal menjadi penghubung penting bagi membolehkan pesakit mendapat akses lebih awal kepada rawatan inovatif yang berpotensi mampu menyelamatkan nyawa sebelum digunakan secara meluas,”
Demikian ucaptama perasmian yang disampaikan oleh Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad semasa Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2026 yang berlangsung di Connexion Conference and Event Centre (Nexus), Bangsar South, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa penyelidikan klinikal bukan sahaja penting dalam memperkasa sektor kesihatan, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi dan kemajuan saintifik negara.
Menurut beliau, Malaysia perlu bergerak lebih jauh dalam landskap penyelidikan global dengan menjadi penyumbang utama kepada inovasi perubatan dan bukan sekadar pengguna teknologi luar.
“Malaysia tidak boleh sekadar menjadi penerima atau saluran kepada inovasi luar. Sebaliknya, Malaysia mesti mengukir dan mencorakkan jejak uniknya sendiri pada peta global penemuan perubatan,” ujar beliau.
Pada masa yang sama, kekuatan Malaysia terletak pada kestabilan ekosistem penyelidikan klinikal yang disokong oleh institusi seperti Institut Kesihatan Negara (NIH), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dan Jawatankuasa Etika dan Penyelidikan Perubatan (MREC) selain memiliki lebih 3200 tenaga profesional berkemahiran dalam bidang tersebut.
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama strategik antara negara serantau dengan antarabangsa bagi memastikan Asia terus berkembang sebagai pusat penyelidikan klinikal yang diyakini dunia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CRM, YBrs. Dr. Akhmal Yusof dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa persidangan kali ini mencatatkan rekod penyertaan tertinggi sejak diperkenalkan.
Menurut beliau, Malaysia terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara hab penyelidikan klinikal utama di Asia menerusi penganjuran Persidangan Penyelidikan Klinikal Malaysia (CRM) Trial Connect 2026 yang menghimpunkan lebih 1100 delegasi daripada hampir 20 negara serta kira-kira 160 organisasi tempatan dan antarabangsa.
Tambahnya lagi, CRM berjaya menarik sekitar 220 penyelidikan klinikal tajaan sepanjang tahun lalu, manakala sebanyak 2800 penyelidikan tajaan telah dilaksanakan sejak penubuhannya pada tahun 2012 dengan nilai mencecah USD450 juta atau kira-kira RM1.6 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).
“Tahun lalu sahaja, persidangan ini menjana sekitar USD20 juta melalui projek dan kolaborasi yang dipersetujui,” ujar beliau.
Beliau berkata, pencapaian tersebut membuktikan keyakinan syarikat farmaseutikal dan organisasi antarabangsa terhadap kemampuan Malaysia dalam mengendalikan penyelidikan klinikal bertaraf dunia.
Pada masa yang sama, beliau memaklumkan bahawa tempoh permulaan penyelidikan klinikal di Malaysia berjaya dipendekkan daripada 350 hari kepada 90 hari, sekali gus meningkatkan kecekapan dan daya saing negara dalam sektor berkenaan.
Persidangan bertemakan “The Rise of Asia in Clinical Trials” itu turut menghimpunkan pelbagai institusi dan organisasi antarabangsa termasukah Agensi Farmaseutikal dan Peranti Perubatan (PMDA) Jepun; Pusat Kanser M.D. Anderson, Amerika Syarikat; Monash Health Australia serta wakil penyelidikan klinikal dari Indonesia dan Singapura.
Selain menjadi platform perkongsian ilmu dan teknologi terkini dalam bidang penyelidikan klinikal, persidangan tersebut turut membuka ruang kepada pengukuhan jaringan kerjasama strategik dalam pembangunan ubat, inovasi kesihatan dan teknologi perubatan pada peringkat global.