Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 15:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sanglang – Terdapat kehadiran lumba-lumba Irrawaddy di perairan Sungai Baru, Perlis sejak dua minggu lalu yang dipantau pada setiap hari oleh Persatuan Penjelajah Alam Perlis (Perlis Nature Xplorer, PNX).

Taklimat mengenai Mamalia Marin Perlis dipersembahkan oleh Pengerusi PNX, Encik Syamil Abd Rahman ke hadapan Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di tepi pantai Sungai Baru.

Sesi khas tersebut bertujuan untuk menyampaikan penerangan mengenai Important Marine Mammals Area (IMMA) bagi lima spesies mamalia marin utama, iaitu lumba-lumba bongkok (Indo-Pacific humpback dolphin), lumba-lumba muncung botol (Indo-Pacific bottlenose dolphin), lumba-lumba Irrawaddy (Irrawaddy dolphin), lumba-lumba tikus (finless porpoise) dan paus Bryde.

Dalam taklimat tersebut, turut ditekankan ialah kepentingan pemeliharaan habitat marin yang menjadi kawasan penting pembiakan, pergerakan dan pencarian makanan bagi spesies berkenaan.

PNX bersama-sama komuniti setempat serta agensi berkaitan juga menjalankan pemantauan berkala bagi merekodkan kehadiran kumpulan lumba-lumba Irrawaddy yang semakin kerap dikesan di kawasan perairan Kuala Sungai Baru.

DYTM Tuanku Raja Muda turut disembahmaklumkan bahawa pengiktirafan IMMA bukan sahaja berfungsi sebagai pengiktirafan saintifik terhadap kepentingan biodiversiti marin, tetapi juga sebagai asas kepada usaha pemuliharaan jangka masa panjang termasuk pengawalan aktiviti perikanan, pengurangan pencemaran laut dan garis panduan pelayaran agar tidak mengganggu habitat mamalia marin.

Aktiviti ini diharap dapat meningkatkan kesedaran awam mengenai kepentingan spesies marin terancam serta peranan komuniti dalam menjaga keseimbangan ekosistem laut.

PNX turut menasihatkan orang ramai, khususnya pelawat dan nelayan supaya mengamalkan etika jarak selamat apabila berhadapan dengan mamalia marin, termasuk tidak memberikan makanan, tidak mengejar haiwan serta mengurangkan bunyi enjin bot bagi mengelakkan gangguan dan tekanan terhadap hidupan laut.

Terdahulu DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi menyantuni dan menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada Mt Ali Long dari Kampung Sungai Baru Tengah, Azizah Mahmud dari Kampung Sungai Baru dan Azani Junos dari Kampung Sungai Baru Sanglang.

DYTM Raja Muda Perlis berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada penduduk yang terlibat.
Kredit Foto: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi