Diterbitkan pada 11 Mei 2026, 16:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan bahawa musim Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 14 Mei 2026 dan akan berterusan sehingga September depan.

Fenomena ini bakal menyaksikan negara menerima jumlah taburan hujan yang lebih rendah berbanding dengan tempoh waktu lain.

Menurut Ketua Pengarah MET Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Hisham Mohd Anip, keadaan ini berpunca daripada angin yang bertiup secara konsisten dari arah barat daya ke rantau negara, sekali gus menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan di kebanyakan tempat.

Walau bagaimanapun, MET Malaysia memberikan amaran bahawa hujan lebat berserta angin kencang dan ribut petir masih berisiko berlaku, terutamanya di kawasan barat Semenanjung, utara Sarawak dan barat Sabah pada awal pagi.

Keadaan ini disebabkan oleh fenomena garis badai (squall line) yang terbentuk di perairan Selat Melaka dan timur Laut Cina Selatan sebelum bergerak ke kawasan daratan.

Selain perubahan cuaca, orang awam turut diingatkan mengenai risiko jerebu setempat dan rentas sempadan yang dijangka boleh berlaku antara bulan Julai hingga September sekiranya aktiviti pembakaran terbuka tidak dikawal.

“Sehubungan dengan itu, sebarang aktiviti pembakaran terbuka perlu dielakkan bagi menghindar bencana jerebu yang boleh mencemarkan alam sekitar. Orang awam juga disarankan agar menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh ini berikutan bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak,” jelas kenyataan tersebut.

MET Malaysia menasihati orang awam untuk sentiasa mendapatkan maklumat cuaca terkini yang sahih melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca, media sosial rasmi jabatan atau menghubungi talian 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi