Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Sebanyak 40 orang kakitangan makmal daripada pelbagai skim perkhidmatan menyertai kursus pendek berteraskan kompetensi yang bertajuk “Modul Pengurusan Makmal: Pengoperasian, Pengurusan Fasiliti dan Infrastruktur Makmal Pengajaran (Asas)” bagi memperkukuh kecekapan pengurusan operasi, keselamatan dan tadbir urus makmal pengajaran di institusi pengajian tinggi.
Program tahap pemula selama 12 jam itu berlangsung di Bilik Aktif, Fakulti Sains dan Teknologi dengan penyertaan Pegawai Sains, Pegawai Farmasi, Penolong Pegawai Sains, Juruteknologi Makmal Perubatan serta kakitangan berkaitan lain.
Kursus tersebut memberikan pendedahan kepada pengurusan operasi makmal berorientasikan akademik dan berkapasiti tinggi bagi membantu staf menguruskan kumpulan pengguna novis atau pelajar dalam jumlah yang besar, memastikan ketersediaan peralatan amali berjadual, menerapkan budaya keselamatan asas serta memperkukuh penggunaan prosedur operasi standard (SOP) dan sistem kawalan inventori yang efisien.
Program dimulakan dengan taklimat keselamatan dan ucapan alu-aluan oleh wakil Perkhidmatan Sains (Skim C), Encik Danori Sardi, Pegawai Sains C13 dari Hospital Canselor Tuanku Muhriz yang berkongsikan pengenalan berkaitan dengan pengoperasian makmal dan strategi pengurusan sumber manusia.
Menurut beliau, pengurusan makmal yang sistematik bukan sahaja tertumpu kepada fungsi mesin dan kecukupan radas, malah bergantung pada kecekapan sumber manusia dalam memastikan keseluruhan ekosistem perkhidmatan dan pengajaran berjalan dengan lancar.
Sesi kedua dikendalikan oleh Puan Mazlin Aman dari Fakulti Sains Kesihatan yang menerangkan aspek teknikal pengurusan aset dan peralatan makmal termasuklah prosedur pembelian serta pengurusan inventori bahan pakai habis bagi memastikan kelancaran kurikulum dan amali, mengelakkan pembaziran, mengawal kos operasi serta menjamin keselamatan dan pematuhan standard kualiti serta audit.
Pengisian hari pertama diteruskan oleh Puan Hannieda Khalid dari Fakulti Sains dan Teknologi yang memberikan tumpuan kepada kawalan proses eksperimen pengajaran dan sistem pengurusan maklumat makmal.
Pada hari kedua, ChM. Hazni Falina Mohamad dari Fakulti Farmasi pula menyampaikan sesi berkaitan dengan pengurusan dokumen, rekod makmal dan proses audit akademik, di samping berkongsikan amalan terbaik pematuhan kualiti yang dilaksanakan di fakulti tersebut.
Seterusnya, Encik Mohd Rohaizat Mat Tahir dari Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina membincangkan aspek penambahbaikan fasiliti serta pematuhan keselamatan, manakala Encik Mohd Noor Faizal Mohd Nadzir dari Pusat Pengurusan Risiko, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan mengupas tentang pelan tindakan kecemasan serta pengurusan insiden di makmal pengajaran.
Sesi terakhir dikendalikan oleh Encik Clarence Ko Ching Huat yang menerangkan prosedur pengurusan aduan dan maklum balas pelanggan secara profesional sebelum kursus berakhir.
Penganjuran kursus berimpak tinggi itu membuktikan bahawa komitmen berterusan universiti dalam memastikan setiap kakitangan makmal memiliki pengetahuan menyeluruh meliputi pengoperasian makmal, pengurusan sumber manusia, pengurusan peralatan dan bahan pakai habis, kawalan proses eksperimen, pematuhan kualiti, keselamatan fasiliti, pengurusan aduan serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.
