Diterbitkan pada 22 Mei 2026, 16:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Samarahan – Fakulti Sains dan Teknologi Sumber (FSTS), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) secara rasminya membuka tirai Hari Terbuka FSTS 2026 hari ini dengan mengangkat tema “Exploring Science for Future Advancement”.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UNIMAS, YBrs. Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda Taib di Teater Multimedia, FSTS, UNIMAS.

Dalam ucapan alu-aluannya, Dekan FSTS, YBrs. Profesor Ts. Dr. Faisal Ali Anwarali Khan menegaskan bahawa peranan FSTS melangkaui sempadan makmal tradisional.

Menurut beliau,

Fakulti memikul dwifungsi yang amat jelas dalam melahirkan saintis kompeten, di samping memikul tanggungjawab sosial dalam membina masyarakat yang berjiwa saintifik.

Tambah beliau, sains tidak seharusnya terkurung dalam jurnal akademik semata-mata, sebaliknya perlu dihidupkan sebagai sebahagian daripada budaya berfikir masyarakat.

FSTS komited merealisasikan hasrat tersebut menerusi dua strategi utama, iaitu pemindahan ilmu dan teknologi kepada komuniti yang membolehkan inovasi disalurkan terus ke peringkat akar umbi menerusi inisiatif berimpak tinggi seperti Program Sekolah Angkat di Sekolah Kebangsaan Buso dan Kampung Angkat MADANI demi memupuk literasi sains dalam kalangan generasi muda.

Strategi yang kedua pula ialah penyelidikan berpaksikan kelestarian yang menawarkan penyelesaian praktikal bagi isu global dan tempatan menerusi portfolio penyelidikan meluas yang merangkumi sains akuatik, bioteknologi molekul dan pemerkasaan sumber asli melalui UNIMAS Biodiversity Nexus.

Sementara itu, YBrs. Profesor Ir. Dr. Siti Noor Linda dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa landskap sains global pada hari ini menuntut kolaborasi transdisiplinari, keterbukaan data serta inovasi berpaksikan matlamat yang selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan.

Melangkah ke hadapan, UNIMAS kini sedang menggerakkan inisiatif UNIMAS Biodiversity Nexus yang digubal selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 Kerajaan Sarawak.

Ujarnya,

Hala tuju kita adalah jelas, iaitu untuk meletakkan UNIMAS sebagai hab serantau dan global bagi penyelidikan biodiversiti tropika, kelestarian dan bioinovasi. Kita mahu memastikan titik panas (hot spot) biodiversiti Malaysia ini diurus dan dipelihara secara saintifik.

Hari Terbuka FSTS 2026 dilihat menjadi jambatan yang menghubungkan menara gading dengan masyarakat dan industri, selain menjadi pentas utama kepada para pelajar untuk menonjolkan kreativiti dan pemikiran kritis kepada para pengunjung.

Menutup ucapan perasmiannya, beliau berharap agar para pelajar tidak membatasi ruang pemikiran terhadap perkara yang tertulis dalam buku teks, sebaliknya berani meneroka, membina jaringan dan memahami cara sains yang mampu mencorakkan masa hadapan.

Kredit Foto: Shafri Semawi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi