Diterbitkan pada 24 Mei 2026, 12:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar Banjaran Nakawan terus dipelihara sebagai “Nadi Bumi Perlis”, lambang keindahan alam semula jadi serta kekuatan warisan negeri yang amat bernilai untuk generasi kini dan akan datang.

Baginda menzahirkan harapan agar segala usaha pemuliharaan dan pembangunan lestari yang dilaksanakan mampu membawa manfaat berpanjangan kepada rakyat serta mengangkat negeri Perlis sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf dunia.

Demikian teks titah ucapan DYMM Tuanku Syed Sirajuddin yang dibacakan oleh Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mewakili Baginda bersempena dengan Majlis Pelancaran Penerbitan dan Dokumentari “Nakawan: The Living Soul of Perlis” yang berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Kangar.

Turut berangkat ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengerusi Eksekutif MY-US Group, Datuk Nellsen Young, Ketua Projek Penerbitan dan Dokumentari khas tersebut, Peter Ong serta Pengarah Promosi Antarabangsa Tourism Malaysia, Baizuri Baharum.

Tambah DYMM Tuanku Syed Sirajuddin, “Usaha dokumentasi ini juga memainkan peranan penting bagi memastikan warisan ilmu dan kisahnya terus direkodkan serta diwariskan kepada generasi masa hadapan”.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin amat menghargai penerbitan buku dan dokumentari ini kerana bukan sahaja memperlihatkan keindahan alam Perlis, malah meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap nilai sebenar Banjaran Nakawan.

Majlis tersebut dianjurkan oleh Smart Leisure Travels dengan kerjasama pelbagai rakan strategik termasuklah The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network, Perlis Nature Xplorer dan Jabatan Perhutanan Negeri Perlis.

Nakawan: The Living Soul of Perlis” merupakan sebuah projek dokumentari alam semula jadi dan budaya yang mengetengahkan kepentingan Banjaran Nakawan sebagai nadi ekosistem serta warisan sosiobudaya negeri Perlis.

Dokumentari yang diterbitkan oleh Roots and Shoots Malaysia itu menelusuri perjalanan sepanjang 36 kilometer banjaran batu kapur tertua di Malaysia bermula dari Wang Kelian hingga ke Kuala Perlis, selain turut memaparkan siri penceritaan menyentuh kehidupan masyarakat setempat, tradisi warisan serta keunikan landskap semula jadi yang subur di sekitar Banjaran Nakawan.

Baginda turut menzahirkan ucapan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan projek berkenaan, khususnya Peter Ong, Syamil Abd Rahman, Myles Storey, Adam Hogg, Jennifer P. Linggi serta para pemimpin komuniti tempatan yang memainkan peranan penting dalam menjayakan usaha dokumentasi tersebut.

DYMM Tuanku Syed Sirajuddin juga mengucapkan penghargaan kepada organisasi yang menyokong projek ini termasuk Roots and Shoots Malaysia, The Habitat Foundation, Sustainable Tourism Network of Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia, Yayasan Hasanah, Manulife Malaysia dan Canon Malaysia.

Penerbitan dokumentari Nakawan The Living Soul of Perlis merupakan usaha sama daripada pelbagai pihak.

Pujian turut diberikan kepada pihak dari negeri Perlis, termasuklah Perlis Nature Explorers, komuniti Kaki Bukit, Kuala Perlis dan Timah Tasoh serta Jabatan Perhutanan Negeri Perlis atas komitmen berterusan dalam memelihara khazanah alam dan warisan negeri.

DYTM Raja Muda Perlis bergambar kenangan bersama-sama semua pihak yang terlibat dalam penerbitan dokumentari Nakawan: The Living Soul of Perlis.
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi