Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberikan jaminan bahawa situasi jangkitan COVID-19 di seluruh negara pada tahun ini kekal stabil dan menunjukkan trend penurunan yang ketara berbanding dengan tahun sebelumnya.
Kenyataan ini dikeluarkan bagi meredakan kegusaran awam susulan laporan peningkatan kes pandemik tersebut di negara jiran baru-baru ini.
Berdasarkan data pengawasan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2026, jumlah kes yang dilaporkan dalam negara mencatatkan penurunan sebanyak 12.6 peratus (9682 kes) berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lalu.
Meskipun terdapat sedikit peningkatan sebanyak 0.7 peratus (575 kes) berbanding dengan ME 18/2026, KKM menegaskan bahawa situasi tersebut masih terkawal.
“Majoriti besar kes yang dilaporkan hanyalah melibatkan gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan di hospital, malah tiada sebarang kes kematian akibat COVID-19 direkodkan sepanjang tahun 2026,” menurut KKM dalam satu kenyataan rasmi.
Dari segi kawalan varian, aktiviti penjujukan genomik oleh KKM telah mengesan kehadiran beberapa subvarian baharu dalam komuniti. Walau bagaimanapun, hasil pemantauan rapi mendapati varian tersebut tidak mempunyai kecenderungan untuk mencetuskan gelombang jangkitan yang serius seperti fasa awal pandemik dahulu.
Sebagai langkah kesiapsiagaan, KKM kini sedang memperkukuh saringan pengembara di pintu masuk antarabangsa negara dengan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi memastikan pengesanan awal dapat dilaksanakan sekiranya berlaku risiko penularan dari luar negara.
Selain itu, KKM turut menjelaskan bahawa jangkitan COVID-19 kini diuruskan dalam kategori jangkitan saluran pernafasan lazim seperti selesema biasa dan influenza.
Sehubungan dengan itu, orang ramai disarankan untuk terus mengamalkan pendekatan “Hidup Bersama COVID-19” melalui penjagaan kesihatan kendiri seperti menjaga kebersihan tangan dan memakai pelitup muka sekiranya bergejala atau berada di kawasan sesak.
Bagi mengurangkan risiko komplikasi jangkitan, KKM amat menggalakkan pengambilan vaksinasi, khususnya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, golongan imunokompromi dan wanita hamil yang boleh didapati di klinik kesihatan kerajaan terpilih di seluruh negara.