Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLos Angeles – Saintis pakar hematologi kelahiran Malaysia, Dr. Swee Lay Thein melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai penerima anugerah berprestij, Breakthrough Prize in Science 2026 dalam majlis gilang-gemilang yang berlangsung di Los Angeles baru-baru ini.
Anugerah bertaraf antarabangsa yang turut dikenali sebagai Oscars of Science itu diberikan sebagai pengiktirafan tertinggi atas kejayaan penyelidikan revolusioner beliau dalam memahami mekanisme biologi berkaitan dengan pertukaran hemoglobin janin kepada hemoglobin dewasa.
Kejayaan kajian tersebut sekali gus membuka laluan baharu kepada pembangunan rawatan inovatif dan lebih berkesan bagi penyakit genetik sel darah merah yang kronik, terutamanya anemia sel sabit dan beta talasemia.
Dr. Swee Lay Thein yang merupakan graduan bidang perubatan dari Universiti Malaya (UM) menerima anugerah itu bersama dengan rakan penyelidiknya, Dr. Stuart H. Orkin dari Harvard Medical School.
Gabungan kajian strategik mereka berjaya membuktikan potensi besar manipulasi genetik untuk menghasilkan hemoglobin janin secara berterusan bagi merawat pesakit.
Anak watan Malaysia ini kini berkhidmat sebagai Ketua Jabatan dan Penyelidik Kanan di U.S. National Heart, Lung, and Blood Institute (NHLBI), sebuah institut bawah seliaan Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat dan terus aktif menyumbang kepakaran kepada kemajuan sains perubatan serta kesihatan global.