Diterbitkan pada 3 Jun 2026, 17:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Buku Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengetengahkan penggunaan teknologi nuklear sebagai kaedah inovatif dalam menghasilkan varieti baharu tanaman hiasan berbunga yang lebih berkualiti, unik dan berpotensi meningkatkan daya saing industri florikultur negara, sekali gus membuka perspektif baharu masyarakat terhadap penggunaan teknologi nuklear secara aman dalam sektor pertanian.

Buku Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan terbitan DBP.

Perkara tersebut dibincangkan dalam sesi bual bicara buku yang dianjurkan oleh DBP menerusi Bahagian Buku Umum (BBU) bersempena dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2026 yang dikendalikan oleh Eksekutif Bahasa BBU, DBP, Puan Nur Farhanah Syazwani Mohd Zaki bersama-sama dengan Pengarah Bahagian Agroteknologi dan Biosains, Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), YBrs. Dr. Zaiton Ahmad yang juga merupakan penulis buku berkenaan.

Puan Nur Farhanah Syazwani Mohd Zaki selaku moderator program Bual Bicara Buku Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan yang berlangsung di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Menurut YBrs. Dr. Zaiton Ahmad, idea untuk menghasilkan buku tersebut tercetus hasil daripada pelibatan beliau dalam penyelidikan tanaman hiasan dengan menggunakan teknologi nuklear sejak menyertai Nuklear Malaysia.

YBrs. Dr. Zaiton Ahmad semasa berkongsikan penggunaan teknologi nuklear dalam penghasilan varieti baharu tanaman hiasan.

Beliau berkata, pengalamannya dalam menulis laporan tahunan, menyunting artikel serta terlibat dalam jawatankuasa penerbitan dan jurnal sains Nuklear Malaysia juga membuka ruang untuknya mendokumentasikan pelbagai hasil penyelidikan tanaman hiasan yang telah dijalankan sejak awal tahun 1990-an.

Mengulas kelebihan teknologi nuklear dalam biak baka tanaman, beliau menjelaskan bahawa kaedah biak baka mutasi sinaran hanya memerlukan satu induk tanaman berbanding dengan pendebungaan silang yang memerlukan dua induk dan tidak sesuai untuk sesetengah tanaman hiasan yang sukar menghasilkan buah atau benih untuk dikacukkan.

Katanya, sampel tanaman akan didedahkan kepada sinaran mengion seperti sinaran gama yang mampu menembusi asid deoksiribonukleik (DNA) tumbuhan dan menghasilkan mutasi semula jadi sebelum penyelidik menjalankan proses penyaringan bagi memilih ciri yang dikehendaki seperti warna bunga, bentuk dan ketahanan tanaman.

Dalam usaha mengurangkan stigma masyarakat terhadap teknologi nuklear, YBrs. Dr. Zaiton Ahmad menegaskan bahawa tanaman yang dihasilkan melalui kaedah ini tidak bersifat radioaktif kerana hanya terdedah kepada sinaran semasa proses pembiakbakaan, selain tidak tergolong sebagai tanaman terubah suai genetik atau Genetically Modified Organism (GMO) kerana perubahan genetik berlaku pada satu induk tanpa melibatkan pemindahan gen daripada organisma lain.

Beliau turut menjelaskan bahawa biak baka mutasi sinaran telah digunakan dan dikaji selama lebih 100 tahun pada peringkat antarabangsa serta dikecualikan daripada peruntukan Akta Biokeselamatan 2007, manakala pelbagai varieti tanaman hasil teknologi tersebut juga telah berjaya dibangunkan dan dilancarkan di Malaysia.

Menyentuh impak ekonomi, beliau menyatakan bahawa Nuklear Malaysia telah menjalankan penyelidikan biak baka mutasi sinaran sejak tahun 1990-an dengan sokongan kemudahan seperti Rumah Hijau Gama, selaras dengan usaha kerajaan ketika era Dasar Pertanian Negara Ketiga dan Dasar Agromakanan Negara yang mengiktiraf florikultur sebagai industri bernilai tinggi untuk tujuan pengeksportan.

Menurut beliau, kerjasama yang pernah dijalin dengan Jabatan Landskap Negara dan pengusaha nurseri turut membantu memperkembang industri tanaman hiasan negara, namun pandemik COVID-19 serta ketidaktentuan geopolitik telah memberikan kesan kepada sektor tersebut apabila negara lebih memberikan tumpuan kepada aspek keterjaminan makanan.

Dalam sesi perkongsiannya, beliau turut berharap agar kerajaan dapat terus menyokong pembangunan varieti baharu tanaman hiasan melalui penyediaan dana penyelidikan pada masa hadapan bagi memperkukuh pengeksportan florikultur dan menjana pertumbuhan ekonomi negara.

Penerbitan buku ilmiah ini bukan sahaja berfungsi sebagai dokumentasi hasil penyelidikan dan rujukan kepada pelajar, penyelidik serta masyarakat umum, malah bertujuan untuk mengurangkan ketakutan masyarakat terhadap teknologi nuklear, memperkasakan inovasi dan hak pembiak baka, menggalakkan minat generasi muda terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta memelihara khazanah ilmu sains dan teknologi untuk generasi akan datang.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Editor Bahagian Buku Umum, Yang Mulia Tengku Fauziah Ku Mat; Jawatankuasa Penerbitan Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Zalina Laili dan Pengurus Penerbitan Nuklear Malaysia, Puan Nur Mazlin Ismail, Ketua-ketua Editor, Ketua-ketua Bahagian, pemain industri perbukuan dan tetamu undangan lain.

Antara tetamu undangan dan pengunjung yang hadir memeriahkan program Bual Bicara Buku Teknologi Nuklear dalam Biak Baka Tanaman Hiasan.
Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi