Diterbitkan pada 13 Jun 2026, 14:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

George Town – Universiti Sains Malaysia (USM) memperkukuh kerjasama strategik universiti–industri bersama-sama Ghee Hiang apabila jenama warisan ikonik Pulau Pinang itu menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records sebagai jenama biskut tradisional Cina tertua di Malaysia bersempena dengan ulang tahunnya yang ke-170.

Suasana ketika meraikan sambutan Ulang Tahun Ghee Hiang Ke-170.

Majlis pengiktirafan yang berlangsung di St. Giles Wembley Hotel itu turut dihadiri mantan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak; Ketua Menteri Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow; Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Lim Hui Ying serta Naib Canselor USM, YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Ditubuhkan pada tahun 1856, Ghee Hiang berkembang daripada perusahaan keluarga kepada jenama warisan Pulau Pinang yang terkenal dengan produk seperti tau sar pneah dan minyak bijan.

YB Chow Kon Yeow menyifatkan Ghee Hiang sebagai sebahagian daripada identiti dan warisan budaya Pulau Pinang yang menjadi kebanggaan rakyat negeri itu sejak sekian lama serta membuktikan bahawa warisan dan inovasi mampu bergerak seiring.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ghee Hiang, YBhg. Datuk Ch’ng Huck Theng pula berkongsikan tentang transformasi syarikat lebih dua dekad lalu seperti pengenalan produk baharu, pembangunan konsep peruncitan moden serta pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan bersama-sama institusi pengajian tinggi termasuklah USM.

YBhg. Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed pula menegaskan bahawa kerjasama strategik USM–industri mencerminkan kepentingan hubungan universiti–industri dalam memperkukuh penyelidikan, inovasi produk dan pemindahan teknologi melalui pelibatan penyelidik seperti YBrs. Profesor Madya ChM Dr. Tan Wen Nee dari Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM.

Sinergi USM dan Ghee Hiang ini turut menyumbang kepada pembangunan produk inovatif berdaya saing tanpa mengabaikan nilai tradisi, selain memperkukuh usaha pemeliharaan warisan makanan tempatan melalui pendekatan saintifik.

Pengiktirafan Malaysia Book of Records terhadap Ghee Hiang bukan sahaja mengangkat legasi 170 tahun jenama tersebut, malah membuka ruang yang lebih luas kepada kolaborasi strategik antara USM dengan pihak industri dalam memacu inovasi, kelestarian serta pembangunan ekonomi berasaskan warisan dan budaya tempatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi